Benarlah kata pepatah “Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan” dan mestinya juga banyak pengalaman, begitulah perasaan penulis di akhir program 10 hari “21st Century Maritime Silk Road” ke China baru-baru ini.

Program yang bermula pada 17 April itu turut disertai 19 pengamal media dari 10 buah negara Asean.

Ia dianjurkan  State Council Information Office of the People’s Republic of China (SCIO) dan  Asean-China Centre (ACC) bersempena sambutan 50 tahun Asean dan Tahun Kerjasama Pelancongan Asean-China.

Untuk program ini, kami dibawa menjelajah beberapa lokasi penting sekitar wilayah Hunan dan Jiangxi yang turut terbabit dalam inisiatif ‘One Belt One Road’ hasil ilham Presiden China Xi Jingping  pada 2013.

Di samping taklimat mengenai kemajuan serta pembangunan ekonomi, penulis sebenarnya begitu teruja berpeluang melihat sendiri cara hidup dan budaya masyarakat di negara yang cukup terkenal dengan sejarah serta tradisinya.

MARTABAT BAHASA IBUNDA

Memang banyak sungguh perkara yang menarik perhatian saya sepanjang program ini, antaranya ialah kesetiaan rakyat China memartabatkan bahasa ibunda mereka.

Meskipun dalam program besar yang membabitkan pelbagai negara yang jika di Malaysia Bahasa Inggeris lazimnya akan menjadi bahasa perantaraan, mereka bagaimanapun kekal dan setia menggunakan bahasa ibunda.

Setiap penyampaian kemudiannya diterjemah ke bahasa Inggeris untuk kemudahan peserta yang tidak memahami bahasa Mandarin.

Tidak kiralah apa jawatan yang dipegang sama ada seorang Pengarah, Pengerusi mahu pun Ketua Pegawai Eksekutif syarikat multinasional malah Professor di universiti sekalipun, mereka tetap akan bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Tiada perasaan malu jauh sekali rasa rendah diri, bahkan terpancar kebanggaan menggunakan bahasa sendiri.

Begitu juga dengan Yang Xiuping, Setiausaha Agung Pusat Asean-China (ACC) yang turut menyertai program lawatan itu.

Dalam setiap lawatan beliau menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin dan terdetik di hati kecil penulis “mustahil beliau tidak boleh berbahasa Inggeris memandangkan jawatan besar yang disandang.”

Persoalan penulis akhirnya terjawab ketika majlis makan tengah hari merangkap majlis perpisahan untuk beliau yang diadakan ketika kami berada di bandar Jingdezhen yang terletak di wilayah Jiangxi.

Dalam majlis serba santai itu, Yang atau kami gelar sebagai Madam Yang bertutur dalam bahasa Inggeris dengan begitu fasih, membuatkan penulis dan rakan media yang lain tertanya-tanya “mengapa tidak sebelum ini beliau berbuat demikian?”

Seakan dapat membaca fikiran kami, Madam Yang berkata “I preferred to speak in Chinese so my people can understand. No point to speak in English if my people cannot understand right? ” jelasnya sambil menambah ia sebagai tanda hormat beliau kepada rakyat negaranya.

Terbit rasa kagum di hati penulis. Meskipun berjawatan tinggi dengan ilmu yang penuh di dada, beliau masih mempunyai rasa hormat yang tingg terhadap bangsa dan bahasa ibundanya.

PRODUK TEMPATAN

Kesungguhan China mengetengahkan budaya, tradisi dan hasil kerja mereka juga boleh dilihat apabila negara itu menjadikan seramik dan porselin sebagai hiasan di serata tempat di negara itu.

Jika bandar Jingdezhen terkenal sebagai pengeluar seramik dan porselin, wilayah dan daerah lain di China pula giat mempromosikan dua perkara yang dianggap ‘trademark’ negara itu.

Buktinya, sembilan buah hotel di pelbagai bandar dan daerah yang menjadi tempat penginapan kami sepanjang tempoh 10 hari program itu menjadikan seramik dan porselin sebagai hiasan selain turut menyediakan mug dan pinggan porselin di bilik hotel.

Selain itu, hiasan yang merujuk kepada sejarah lama China seperti replika yang menunjukkan dinasti terdahulu dan lukisan naga zaman dahulu turut diletakkan di ruang legar hotel.

Kebanyakan syarikat dan organisasi yang dikunjungi kebanyakannya turut menghidangkan ‘teh Cina’ di dalam mug porselin yang berasal dari negara itu.

Pendek kata, mereka benar-benar mengangkat dan mengetengahkan produk tempatan dalam setiap lapangan bagi memastikan ia dikenali terutamanya  ‘orang luar’ seperti penulis.

AKTIVITI SIHAT

Sepanjang berada di negara itu juga penulis mendapati kebanyakan masyarakatnya tidak kira peringkat usia gemar melakukan aktiviti riadah seperti berjalan kaki, berbasikal malahan mendaki gunung.

Mungkin disebabkan faktor jarak dari suatu tempat ke suatu tempat yang memerlukan setiap individu untuk berjalan jauh, maka ia telah menjadi satu kebiasaan buat mereka.

Contohnya ketika berada di bandar Jiujiang, kami turut dibawa mendaki Gunung Lushan atau juga di kenali sebagai Gunung Lu yang terkenal dengan ‘Three Tiled Springs’ serta beberapa tarikan lain yang berkeluasan 350 kilometer persegi.

Sewaktu penulis dan beberapa rakan media berhenti seketika untuk berehat, sekumpulan wanita warga emas yang memakai hiasan di kepala, mungkin sebagai tanda  datang berkumpulan begitu bersahaja melakukan pendakian.

Asyik memerhati kumpulan warga emas itu, tiba-tiba datang seorang lelaki tua menepuk bahu penulis dan bertanya kepada penulis dengan menggayakan tangannya “mengapa penulis berhenti di situ?”

Penulis membalas pertanyaannya dengan membuat isyarat penat dan mengelap peluh di dahi lantas dibalas lelaki dengan membuat memek muka dan bahasa tubuh yang menunjukkan beliau masih kuat dan mampu sampai ke puncak gunung meskipun sudah berusia 72 tahun, sambil jarinya menunjukkan angka berkenaan.

Hanya mampu tersenyum, penulis turut membuat isyarat jari ‘bagus’ kepada beliau sebagai tanda memuji tahap kesihatannya yang masih baik walaupun sudah berusia.

MANFAAT HARI MINGGU

Kesempatan melihat bagaimana rakyat negara itu memanfaatkan cuti hujung minggu mereka turut menarik perhatian penulis.

Jika pada hari bekerja masing-masing sibuk malah terkejar-kejar dengan kerja dan kesesakan lalu lintas, hari minggu digunakan sebaik-baiknya untuk bersama keluarga serta aktiviti santai di taman rekreasi atau pelbagai tempat menarik seperti muzium.

Sebagai contoh, pada malam minggu sewaktu berada di bandar Nanchang, kami di bawa untuk menikmati suasana malam di tengah bandar itu sebelum pulang ke hotel.

Di situlah penulis melihat begitu ramai orang berpusu-pusu menuju ke dataran bandar itu bersama keluarga masing-masing untuk menyaksikan pertunjukan air pancut dan lampu pelbagai warna.

Situasi sama juga dilihat ketika kami dibawa berkunjung ke Bada Shanren Museum yang ditubuhkan sejak 1959. Ibu bapa membawa anak-anak mereka mengisi masa cuti hujung minggu di sekitar kawasan itu yang juga terdapat tasik dan bahan bersejarah di dalamnya.

Apa yang penulis boleh simpulkan untuk ‘pengembaraan’ penulis ke bumi China yang bermula di Ghuangzhou dan berakhir di Shanghai sebelum berangkat pulang ke tanah air itu ialah kita boleh meneladani pemimpin serta rakyat China yang begitu gigih memelihara identiti negara mereka termasuk memertabatkan bahasa ibunda. Bernama