Anak Sarikei pula bersinar di Terbuka Korea, pecah 4 rekod kebangsaan dalam 5 bulan

KUCHING: Dengan lontaran sejauh 65.34 meter pada aksi pingat perak di Terbuka Korea, Jeongson, Korea Selatan semalam, atlet tukul besi negara Jackie Wong Siew Cheer bukan sahaja prospek pingat emas kejohanan Sukan Sea pada Ogos depan, malah berupaya meleburkan rekod kejohanan.

Ini kerana pencapaian atlet berusia 24 tahun itu semakin menghampiri pencapaian atlet hebat Filipina, Caleb John Stuart yang memegang rekod 65.63 meter, selaku penyandang pingat emas Sukan Sea Singapura 2015.

Namun prestasi sederhana Caleb yang memiliki catatan terbaik peribadi 68.66 meter seharusnya menjadi pembakar semangat kepada Jackie — kerana dalam tempoh lima bulan terakhir ini, atlet asal Sarikei, Sarawak itu telah empat kali memecah rekod kebangsaan yang juga catatan terbaik peribadinya.

Jackie Wong Siew Cheer (Bernama)

Ini termasuk catatan 64.67 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand di Bangkok pada dua minggu lalu.

Justeru tidak hairanlah beliau mensasarkan balingan sejauh 66 meter pada temasya dwitahunan di Kuala Lumpur pada 19-30 Ogos depan.

“Dengan kejayaan merombak rekod kebangsaan sebanyak 10 kali sejak 2013, termasuk tiga kali pada tahun ini sahaja… waktu ini harus dilihat sebagai kemuncak prestasi saya.

“Saya harus menggunakan kesempatan ini untuk terus menggandakan pencapaian dan rekod,” katanya.

Jackie kini berlatih di Mokpo, Korea Selatan di bawah bimbingan jurulatih China, Gu Yuan.

“Ini peluang terbaik untuk emas, apatah lagi beraksi di halaman sendiri,” katanya yang sekadar memungut gangsa dalam tiga aksi Sukan Sea sebelum ini, iaitu di  Palembang (2011), Myanmar (2013) dan Singapura (2015).

Dengan Sukan Sea semakin menghampiri, Jackie akan sekali lagi menyertai acara “pemanas badan” pada 6 hingga 9 Julai depan.

Beliau akan beraksi dalam Kejohanan Olahraga Asia, satu lagi pentas yang menyediakan saingan kompetetif di rantau ini.

Tidak mustahil beliau berpeluang menumbangkan Lee Ywun-chul, 35 tahun, yang menafikan pingat emas Jackie di Terbuka Korea semalam, dengan catatan 71.21 meter. – Sarawakvoice