Main meriam buluh, mercun salah mengikut undang-undang

PERAK: Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Hasnan Hassan mengatakan, ramai warga masih bermain meriam buluh tidak menyedari bahawa tindakan itu merupakan satu kesalahan di bawah Undang-Undang Senjata 1960.

Justeru, masyarakat diingatkan agar tidak bermain-main dengan meriam buluh sepanjang Aidilfitri kerana selain berbahaya ia juga melanggar undang-undang negara.

Gambar hiasan

Memetik The Star pada Isnin, Hasnan berkata, “saya khuatir orang akan tercedera. Kita tentu tidak mahu hal ini berlaku sepanjang Syawal ini.

“Masyarakat juga mungkin tidak selesa mendengar bunyi kuat meriam buluh,” ujar beliau.

Beliau mendedahkan polis menerima beberapa laporan masyarakat berkaitan permainan meriam buluh yang membingitkan itu.

Ada penduduk mengaku tidak dapat tidur atau melakukan aktiviti normal kerana gangguan bunyi kuat meriam buluh.

Hasnan berkata, keselamatan penduduk setempat semasa Aidilftri lebih penting, walaupun meriam buluh popular dan merupakan permainan tradisi di kampung-kampung sempena Aidilfitri.

Selain meriam buluh, kegilaan membakar mercun yang merupakan tradisi masyarakat Cina menyambut Xong Xi Fat Chai turut menular sejak sekian lama dan semakin parah mutakhir ini.

Bagi kesalahan menjual bahan yang boleh meletup tanpa permit, pesalah boleh dipenjara tujuh tahun dan membayar denda RM10,000 di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Baru-baru ini di Bintawa Hilir, kanak-kanak berusia 12 tahun maut akibat bermain mercun buatan sendiri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak kerana kecuaian ibu bapa. – Sarawakvoice