Kuching FA rayu ringankan hukuman tiga pemain — Fazruddin

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (Kuching FA) akan menulis surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi merayu agar hukuman terhadap tiga pemainnya yang sebelum ini digantung di antara tiga ke enam bulan permainan diringankan.

Pengurusnya, Fazruddin Abdul Rahman berkata, dalam proses rayuan itu kelak, pihaknya akan turut mengemukakan salinan rakaman video sebagai dokumen sokongan.

“Kita mahu FAM konsisten terhadap semua tindakan mereka, termasuk hukuman yang setimpal terhadap pasukan lain juga,” katanya.

Tiga pemain terbabit turut didenda sebanyak RM5 ribu ke RM10 ribu seorang, kerana berkelakuan ganas mereka ketika aksi Kuching FA dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC pada 20 Mei lalu.

Dalam aksi Liga FAM 2017 itu, Mohammad Shafitri Salim didapati dengan sengaja memijak pemain SAMB, Hafizuddin Mohamad Said hingga menyebabkan kecederaan yang serius.

Shahfitri kemudian diarah menjalani penggantungan daripada bermain dalam perlawanan rasmi dan tidak rasmi selama enam bulan berkuat kuasa 15 Jun selain didenda sebanyak RM10 ribu.

Seorang lagi pemain, Remenor Pit pula didapati bersalah kerana dengan sengaja mencekik pemain lawan dan dijatuhkan hukuman penggantungan selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Jun di samping denda sebanyak RM5 ribu.

Rafiezan Razali menjalani hukuman yang sama setelah didapati bersalah dengan sengaja menyiku pemain lawan, ketika aksi menentang Sime Darby FC.

Katanya, pihaknya telah memberi amaran keras kepada pemain-pemain yang terlibat.

“Kita telah pun memanggil mereka untuk membela diri dan telah mengambil keputusan untuk menjatuhkan hukuman.

“Apa pun bentuk hukuman yang akan dilaksanakan belum dimuktamadkan.

Kata Fazruddin, ekoran penggantungan tersebut, pihaknya kini perlu merumus strategi baharu, yang agak drastik, kerana yang terlibat dalam penggantungan tersebut ialah pemain tonggak utama pasukan.

“Sudah tentu kita akan mengadakan perubahan strategi dan berharap para pemain baharu ini kelak akan dapat membantu pasukan dalam mengharungi baki perlawanan,” katanya lagi. – Sarawakvoice