Karim tempelak Nazri, hanya PM selaku Menteri Kewangan layak umum, tunda Cukai Pelancongan

KUCHING: Belum selesai lagikah isu Cukai Pelancongan antara Nazri-Karim?

Malaysiakini pada Rabu menulis, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah menempelak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengumumkan Cukai Pelancongan ditangguhkan dari 1 Julai kepada 1 Ogos ini.

Sin Chew Daily pada Selasa melaporkan Nazri mengumumkan penangguhan Cukai Pelancongan yang berkuat kuasa 1 Julai kepada 1 Ogos depan.

Penangguhan itu dilakukan kerana kerajaan belum bersedia melaksanakannya ditambah pula ia bergantung dengan sistem Jabatan Kastam yang belum siap sepenuhnya.

Sebelum ini, undang-undang tersebut mengenakan cukai kepada pelancong asing, namun bagi warganegara Malaysia yang tinggal di hotel 3 bintang dan ke bawah tidak perlu membayar cukai pelancongan.

Pada 8 Jun lalu, Nazri mengumumkan Cukai Pelancongan yang dikenakan pada kadar RM2.50 hingga RM20 untuk penginapan semalaman akan mula dikuat kuasa 1 Julai ini.

Isu Cukai Pelancongan sempat “marak” di antara Nazri dengan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak apabila Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah “bersuara” berkaitan kerisauan beliau apabila cukai tersebut dilaksanakan.

Nazri pada sidang parlimen berkata Cukai Pelancongan dianggarkan menjana kutipan RM654.62 juta kepada pendapatan negara.

Dalam perkembangan terbaru, Abdul Karim ketika diminta mengulas berkaitan isu pembatalan lawatan 3,000 pelancong China ke Malaysia yang akhirnya memilih Thailand sebagai destinasi pilihan membimbangkan dan disifatkan ada kaitan dengan pelaksanaan Cukai Pelancongan yang mahu diterapkan.

“Ini jugalah kenapa saya mahu pelaksanaan Cukai Pelancongan ditangguhkan dan tidak terlalu tergesa-gesa dilaksanakan,” ujar Karim seperti dilaporkan media tempatan.

Laporan akhbar mendakwa, pelancong China terbabit membatalkan lawatan ke Malaysia atas alasan mereka mahu mengelak membayar Cukai Pelancongan bernilai RM100,000.

Berkaitan isu pengumuman dan penangguhan cukai, Karim sebaliknya berkata hanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan, berhak menangguhkan tarikh pelaksanaan cukai berkenaan.

Memetik Borneo Post pada Rabu, Karim berkata Akta Cukai Pelancongan menetapkan hanya Menteri Kewangan berkuasa mengecualikan atau menangguh pelaksanaan cukai hotel berkenaan.

Bagi Karim Menteri Pelancongan tiada kuasa mengumumkan penguatkuasaan Cukai Pelancongan pada 1 Julai yang kini diumumkan pula penangguhannya kepada 1 Ogos.

Karim berkata, bukan Kementerian Kewangan atau Perdana Menteri yang memaklumkan tarikh 1 Julai itu.

Malaysiakini melaporkan, Nazri ketika dihubungi akhbar itu enggan mengulas lanjut isu tersebut.

Pada 11 Jun lalu, Nazri menimbulkan rasa kurang senang bagi pemimpin politik dan rakyat di Sarawak dan Sabah apabila menggelar Abdul Karim sebagai menteri ‘setahun jagung’ serta menggunakan istilah “samseng” dalam ulasannya.

Hal ini juga menjadikan isu “jagung” menjadi tular dan bahan lelucon di media sosial sehingga ada yang menggunakan ikon jagung dalam mesej.

Ini berikutan gesaan Abdul Karim agar Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan itu. – Sarawakvoice