Anak Belaga catat 10.28 saat sambar pingat perak di Terbuka Korea

KUCHING: Atlet kebangsaan kelahiran Sarawak asal Belaga,  Jonathan Nyepa semalam mencipta 10.28 saat untuk menduduki tempat kedua Kejohanan Olahraga Terbuka Korea di Jeongseon, Gangwon-do.

Kejayaan membanggakan itu diiringi dengan kejayaan seorang lagi rakan senegeri, Nixson Kennedy untuk memecut 10.43 saat bagi menduduki tempat keempat dalam saingan yang sama.

Pingat emas dimenangi pelari tuan rumah; Kim Kok Young yang mencipta 10.07 saat untuk memecah rekod kebangsaan negara itu.

Pingat gangsa turut dimenangi pelari tuan rumah Lee Jae-ha, yang mencatat 10.41 saat bagi meninggalkan Nixson.

Ia kejayaan yang amat membanggakan bagi atlet berudia 21 tahun itu, setelah sebelum ini tumpas kepada Khairul Jantan yang memecah rekod kebangsaan dengan catatan 10.18 saat dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching pada tahun lalu.

Pecutan atlet anak didik The Flying Dayak, Watson Nyambek itu berjaya membaiki catatan terbaik peribadinya, 10.36 saat; yang direkodkan semasa Sukma Sarawak.

Ia sekali gus menjadi masa terpantas yang dicatatkan di Malaysia pada tahun ini.

Yang jelas, kejayaan ini membolehkan kedua-dua atlet ini layak secara merit ke Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur, Ogos depan, yang had masa kelayakannya ditetapkan pada 10.45 saat.

Pada April lalu, Nixson pernah mencatatkan 10.25 saat ketika memenangi Terbuka Pahang.

Ia juga berita baik kepada negara kerana kejayaan ini sekali gus membuka pintu saingan kepada sekurang-kurangnya tiga atlet negara ini untuk merebut gelaran Raja Pecut Asia Tenggara.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejayaan kedua-dua atlet ini amat membanggakan.

“Saya berharap kedua-duanya dapat melipatgandakan usaha untuk terus meningkatkan pencapaian, dan kemuncaknya pada Sukan Sea kelak,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Jonathan Nyepa