Seluruh penumpang pesawat yang tak pernah ingat Allah pun berdoa mohon bantuan – Nik Abduh

PETALING JAYA: Selepas pendakwah muda Firdaus Wong Wai Hung memberi komen di Facebooknya berkaitan isu doa AirAsia yang dipertikaikan oleh mantan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim di Twitternya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut bersuara.

Sebelum ini, Firdaus menulis, “antara manusia yang angkuh adalah, tatkala di ambang bahaya masih enggan memohon dan bertaubat kepada Allah, malah membidas orang yang melakukannya.

“Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala kurniakan taufiq dan hidayah kepada Zaid Ibrahim dan kita semua. Allahumma Ameen,” ujar Firdaus.

Sementara, Nik Abduh turut mendoakan agar Zaid diberi kesedaran berdoa kepada Tuhan ketika berdepan kecemasan seperti insiden menimpa pesawat AirAsia X di Australia.

Menurut laporan FMT yang memetik kenyataan Facebook Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berkata, Zaid tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan juruterbang itu kerana menjadi lumrah manusia berdoa kepada Tuhan memohon bantuan untuk selamat daripada musibah. – Sarawakvoice