Kedudukan BN terancam, PRU dijangka Mac tahun depan

KUCHING: Kerusi majoriti Cina di bandar di Sarawak dijangka terus menjadi cabaran besar kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Penganalisis percaya bahawa tidak mudah untuk BN merampas balik kerusi berkenaan daripada genggaman pembangkang.

Dalam PRU lalu, pembangkang memenangi enam daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak. Kesemua kerusi berkenaan ialah kerusi majoriti Cina di bandar.

Lima kerusi dimenangi DAP dan satu dimenangi PKR.

Meskipun pada pilihan raya negeri Mei tahun lalu BN berjaya merampas balik beberapa kerusi majoriti Cina namun, kata penganalisis, PRU tidak boleh disamakan dengan pilihan raya negeri.

Ujar banyak penganalisis, kali ini fokus adalah kepada isu nasional bukan sangat kepada isu negeri.

Mereka menjangka pembangkang akan memanipulasikan isu 1MDB, derma RM2.6 bilion, FGV dan Felda, DoJ dan isu kepemimpinan negara yang lain.

Kata penganalisis, BN berdepan kesukaran meyakinkan rakyat mengenai isu terbabit.

“Dengan media sosial mempunyai pengaruh yang kuat, BN perlu mencari strategi ampuh untuk mengemukakan naratif politik dan wacana tandingan yang lebih meyakinkan,” katanya.

Mereka yang ditemui sarawakvoice sebulat suara berkata PRU kali ini tidak boleh diambil mudah oleh BN.

“Kedudukan BN benar-benar terancam,” kata mereka.

Namun, ujar mereka, Sarawak tetap terus menjadi kubu kuat BN walaupun undi popular yang bakal diraih di negeri ini kemungkinan terhakis dalam PRU-14.

Mereka menjangka PRU-14 tidak akan diadakan September atau Oktober seperti diramal ramai, sebaliknya pada Mac tahun depan. – Sarawakvoice