Saling bermaafan pada Hari Raya tingkatkan kemanisan perayaan

KUALA LUMPUR: Pengarah Pusat Penyelidikan PAS mengatakan kita semakin merasai kemanisan silaturrahim itu dengan saling maaf bermaafan. Hari kemenangan kita melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan yang lepas akhirnya dapat dirayakan oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata: “Pada bulan Ramadan yang lalu, kita diperintah untuk menjaga puasa kita bukan sekadar menjaga makan dan minum, tetapi juga menjaga lisan dan tulisan kita daripada mengumpat, memfitnah, membuka aib dan seumpamanya. Dengan kita menahan lisan dan tulisan, kita dapat merasai keharmonian hidup bermasyarakat yang terhindar dari umpat-mengumpat, fitnah-memfitnah dan saling membuka aib orang lain.”

Beliau turut menegaskan bahawa negara kita hari ini sedang berhadapan dengan masalah dalam seluruh aspek kehidupan dari segi politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya masalah itu tidak diselesaikan dibimbangi nanti ia mencetuskan konflik. Penyelesaian kepada masalah negara tidak boleh dilakukan dengan kita memecah belahkan masyarakat terutama umat Islam.

“Marilah kita sucikan tujuan kita berpolitik, murnikan cara kita berpolitik, matangkan sikap kita dalam berpolitik dan mensejahterakan rakyat dengan kita berpolitik,” ujar Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Di samping itu, beliau turut menekankan bahawa rakyat biasa yang dibantu akan merasai lebih terbela apabila semua pihak tanpa mengira latar belakang berganding bahu demi mencapai maslahah rakyat. Bila tiba hari raya, kita diperintah pula menunaikan zakat fitrah yang bertujuan membantu rakyat yang tidak bernasib baik agar hidup mereka terbela.

“Kita saling berlumba-lumba untuk membantu rakyat sehingga kita sanggup mengenepikan perbezaan rupa etnik dan aliran politik kerana kita diajar supaya prihatin kepada nasib rakyat yang malang,” tegas beliau.

Dengan itu, pada hari raya ini beliau menyeru kita untuk menuai keharmonian hidup, demi menuju masa depan yang lebih sejahtera. Politik tidak memecah belah, tapi jiwa kita ingin berkonflik. Maka marilah kita sempena hari lebaran ini membuka lembaran baru ke arah Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) demi pembinaan peradaban bersama. – Sarawakvoice