KUCHING: Barisan Nasional Sarawak dijangka menampilkan sekurang-kurangnya enam muka baharu dalam pilihan raya umum (PRU) Ke-14.

Penganalisis politik berkata, parti tulang belakang BN, Parti Pesaka Bumiputera akan menampilkan sekurang-kurangnya empat muka baharu termasuk Parlimen Mukah, Puncak Borneo, dan Betong yang masing-masingnya diwakili Dr Muhammad Leo Michal Toyad, Dr James Dawos Mamit, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Prestasi Leo yang tidak memuaskan dan tempoh perkhidmatan yang terlalu lama antara faktor bekas menteri pelancongan dan timbalan menteri pelajaran itu digugurkan.

James Dawos pula bakal digugurkan kerana masalah kesihatan.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas Ahli Parlimen Betong dijangka akan memberi laluan kepada muka baharu.

Douglas, Ahli Dewan Negeri Bukit Saban ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Calon bagi kerusi Betong bagi PRU nanti kemungkinan besar ialah Robert Lawson Chuat, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban.

Biasanya BN menampilkan sekitar 30 peratus muka baharu dalam setiap pilihan raya bagi proses peremajaan dan kesinambungan, selain atas faktor prestasi calon.

Setiausaha BN Datuk Stephen Rundi baru-baru ini berkata, BN Sarawak dijangka mengekalkan 80 peratus penyandang kerusi Perlimen.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan 25 kerusi dimenangi BN dalam PRU lalu.Lima kerusi digenggam DAP dan satu dimenangi PKR.

Kerusi berkenaan ialah kerusi majoriti Cina di bandar.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari baru-baru ini berkata kemungkinan besar BN boleh menambah jumlah kerusi dimenanginya meskipun tidak menyatakan kerusi itu.

Pengananalisis berkata kerusi yang boleh diambil balik BN ialah Sarikei yang kini diwakili DAP. – Sarawakvoice