Cukai pelancongan ditangguhkan, Abang Jo berpijak di bumi nyata … biarlah PapaGomo terus mengamuk

Apabila Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengumumkan persetujuan Kerajaan Negeri Sarawak untuk melaksanakan Cukai Pelancongan Persekutuan, seperti yang diluluskan Parlimen pada April lalu, ia mengundang pelbagai reaksi.

Banyak yang memperlekeh, tidak kurang yang memperkecil kesungguhan Kabinet Abang Jo untuk menyuarakan hak Sarawak terhadap Kerajaan Pusat.

Malah ada yang menyifatkannya sebagai “langkah penakut” serta “tunduk” kepada Pusat.

Kebanyakan yang memberi komen di media sosial tersebut sebenarnya tidak faham, bahawa banyak “kemenangan” yang diperoleh hasil bantahan Abdul Karim sebelum ini.

Abaikan komen negatif Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang arogan, Datuk Seri Nazri Aziz, suara Sarawak dan bangkangan Sabah menyedarkan Kabinet Pusat dari tidur, bahawa penerangan isu ini tidak merakyat sebelum pembentangannya.

Kerana suara Sarawak inilah, perincian cukai ini dihuraikan lebih lanjut, dan langkah penyesuaian diformulakan.

Akhirnya, mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri, secara diplomasi, rundingan terus di antara Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menghasilkan situasi ‘menang-menang’.

Perdana Menteri kemudian telah bersetuju agar kutipan cukai pelancongan ini dibahagi rata kepada tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Tidak seperti sebelumnya, rakyat tempatan juga dikecualikan daripada membayar cukai ini di hotel-hotel bertaraf tiga bintang ke bawah.

Sebaliknya, mereka turut membayar cukai jika menginap di hotel empat dan lima bintang sahaja, kata rundingan tersebut.

Justeru tidak ada istilah penakut, kalut atau kalah menang dalam isu ini.

Gertakan Sarawak untuk tidak melaksanakannya jelas, kerana tidak dirundingi sebelumnya.

Tetapi setelah perbincangan, penjelasan, dan tolak ansur, termasuk memastikan keuntungan terus disalur ke kantung negeri, adalah matang dan wajar untuk Kerajaan Negeri melonggarkan pintu persetujuan.

Ia juga dilakukan atas prinsip perpaduan dan saling menghormati.

Bagaimana penerimaan Nazri? Meski Nazri tidak memberi komen, keangkuhannya tetap wujud, dan disalurkan oleh gerila sibernya.

Dalam status facebooknya, PapaGomo yang sebelum ini kecut apabila akaun ‘Sir Azri’ dihujani ribuan kecaman, terpaksa membuka akaun baharu dengan nama ‘Muhammad Azri’.

“Bukan Aku yang paksa Menteri Sarawak setuju pasal cukai katil tu…Lain kali jangan berlagak samseng nak ugut-ugut. Fikir pakai akal bukan pakai Jagung bila nak buat keputusan. Bila berlaku benda macam ni, jangan nak salahkan federal pulak. Now malu sendirilah lu orang. Ada aku kisah tak boleh masuk Sarawak?”

Nyata Nazri dan lembu tunggangannya ini masih belum belajar daripada apa yang berlaku!

Seharusnya, mereka menyemak kembali Perlembagaan Persekutuan; dan harus diingat, pelancongan adalah hak dan kuasa negeri. Pelaksanaan dasar dan apa jua rancangan lain, yang berkaitan pelancongan haruslah mengetuk dan melalui pintu Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Kerana itulah apabila Datuk Amar Abang Johari mengumumkan untuk menangguhkan pelaksanaan cukai ini pada 1 Julai depan, ia adalah keputusan berwibawa yang terletak di bawah kuasanya.

Puncanya, kerana kementerian Nazri sendiri belum menyediakan garis panduan lengkap mengenai pelaksanaannya.

Bukan sahaja notis tidak dikeluarkan kepada pengusaha malah modus operandinya tidak jelas.

Abang Johari yang juga bekas Menteri Pelancongan Negeri turut khuatir, tindakan ini akan menjejaskan promosi awal oleh pelbagai syarikat dan Kerajaan Negeri, yang sebelum ini menawarkan harga promosi yang kompetetif kepada pelancong luar negara, tanpa cukai ini.

Jumlah kenaikan tersebut, biar nampak sedikit pasti menjejaskan poket pelancong yang rata-ratanya menginap lebih seminggu di negeri ini.

Justeru keputusan itu sebenarnya berpijak di bumi yang nyata. – Sarawakvoice