Balik kampung semasa berhari raya membawa perasaan gembira dan penuh keterujaan.

Namun, perasaan ini sedikit tercalar apabila memikirkan keadaan yang bakal dilalui sebelum tiba di kampung halaman.

Sebelum 2010, balik memandu kereta mungkin tidak dapat dilakukan kerana tiada penghubung antara “tanah besar” untuk ke pulau.

Setelah jalan Tanjung Manis-Serdeng siap, feri Batang Paloh Serdeng dan feri Muara Lassa Sg. Nai mula beroperasi menghubungkan penduduk Pulau Bruit dengan Sibu dan Mukah melalui jalan darat.

Tahun 2017, membuka lembaran harapan baru, apabila jalan antara Kampung Penuai hingga Kampung Salah Kechil dibuka, memberi peluang pemilik kereta memandu terus menuju kampung masing-masing tanpa perlu meninggalkan kereta jauh di Kampung Penuai.

Namun, seperti yang dijangka, masa menunggu untuk ke seberang mengambil masa lebih lama berbanding perjalanan itu sendiri jika memandu dari Sibu.

Feri, ya perkhidmatan ferilah yang menjadi isunya di sini!

Sungguhpun, terdapat dua buah feri beroperasi serentak, namun pergerakan lambat kerana jarak antara dua tebing agak jauh dengan pergerakan feri yang agak perlahan.

Ini ditambah had jumlah kereta yang dibenar menaiki feri, sementara bilangan kereta cukup banyak menuju pulau khususnya pada musim perayaan.

Di sini kesabaran menunggu sedikit teruji walaupun masa feri beroperasi dipanjangkan berbanding hari biasa.

Kredit Foto: Buletin Pulau Bruit

Ya, raya tahun ini sedikit berbeza kerana lebih ramai anak-anak pulau balik beraya dengan memandu kereta.

Berapa lamakah keadaan seperti ini akan terus dihadapi?

Berapa kali hari raya lagi penduduk pulau perlu berdepan kesengsaraan berbaris panjang menunggu giliran kereta memasuki feri?

Sabar, memanglah sudah banyak bersabar!

Namun, bagi penduduk pulau, jika ada jambatan yang menggantikan perkhidmatan feri sedia ada ini, keadaan sosioekonomi penduduk pasti menjadi lebih baik, selain menjimatkan masa, tenaga dan wang penduduk.

Benar wakil rakyat telah bersuara di DUN, malah mungkin di Parlimen, namun kenapa ia perlu mengambil masa yang sangat lama?

Penduduk pulau setia dan tidak pernah mengkhianati menyokong parti sedia ada sejak 1990?

Harapan penduduk Pulau Bruit masih ada kepada parti sedia ada untuk “membayar” kepercayaan ini secepat mungkin, kerana warga belia di sini mungkin berani cuba membuat perubahan pada PRU akan datang.

Semoga mendapat perhatian dan tindakan wajar pemimpin yang dihormati.

Adi Ahmad Abi, Pulau Bruit. – Sarawakvoice