Institusi keluarga runtuh jika rakyat lakukan dua pekerjaan, kata Pas

KUALA LUMPUR:  Pas mendakwa cadangan agar rakyat Malaysia melakukan lebih daripada satu pekerjaan akan meruntuhkan institusi keluarga.

Naib Presiden Pas Datuk Iskandar A.Samad dalam satu kenyataan berkata, jika bapa atau ibu terpaksa melakukan kerja kedua dan masa bersama anak-anak semakin berkurangan maka kemungkinan hubungan kekeluargaan akan menjadi renggang.

Kenyataan Iskandar bagi mengulas ‘kicauan’ Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan melalui “tweet” beliau yang menyokong langkah tersebut.

Menurut Iskandar, jika langkah tersebut dilaksanakan, anak-anak akan kurang menerima kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya daripada ibu bapa.

“Maka anak-anak akan menjadi lebih rapat dengan kawan-kawan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan  atas kekosongan yang dirasakan oleh mereka. Tambahan pula,  anak-anak seperti ini mungkin akan memberontak untuk mendapatkan perhatian. Jika tidak dikawal ia dibimbangi boleh mewujudkan gejala-gejala sosial,” tambahnya.

Ujarnya, cadangan itu juga gagal menyelesaikan masalah  sebenar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

“Malah,  ia akan mewujudkan masalah-masalah lain,” tegasnya.

Ramai rakyat Malaysia, menurut Iskandar, terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaaan kerana pendapatan mereka tidak dapat menampung keperluan perbelanjaan.

Katanya lagi, antara sebab utama ialah kos sara hidup yang meningkat dan pelaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

Selain dari itu, jelasnya, nilai ringgit yang merudum jatuh menyebabkan barangan yang diimport seperti bahan makanan dan ubat-ubat turut meningkat harganya.

“Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah ini dan bukan menyarankan rakyat membuat dua pekerjaan,” katanya. – Sarawakvoice