Awas dengan syaitan di jalan raya Aidilfitri ini

Hari raya bukan sahaja musim perayaan, tetapi bagi sebahagian rakyat Malaysia, musim kematian.

Bukan sedikit nyawa yang melayang kerana kecelakaan di jalan raya.

Di Malaysia, lebih banyak mati di jalan raya daripada mati di medan perang.

Setiap kali menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri, bukan sahaja tempat beli-belah sesak, tetapi juga pangkalan feri, lapangan terbang, jalan raya dan lebuh raya.

Jumlah kereta yang berada di jalan raya semakin banyak, berbanding pada hari-hari biasa.

Namun, malangnya, dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, jumlah kemalangan juga meningkat.

Di Lebuh Raya Utara-Selatan, peningkatan ialah sebanyak 30 peratus daripada 1.2 juta kenderaan pada tahun lalu.

Di Sarawak dan Sabah, sepanjang jalan dari Lundu ke Lawas, jumlahnya tentu turut bertambah.

Semua orang seronok hendak balik kampung, meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan keluarga dan sanak saudara. Mereka tidak sabar-sabar hendak bersua muka dengan orang tua dan keluarga.

Tetapi sebahagiannya tidak sampai ke destinasi.

Mereka maut di tengah jalan. Yang sampai ialah sekujur tubuh yang bergelar jenazah.

Menjelang Hari Raya tahun lepas, dalam tempoh lima hari operasi yang dijalankan, jumlah kemalangan ialah 7,648.

Ini bukan satu angka kecil yang boleh dipandang remeh.

Untuk lima hari operasi bagi tahun ini, sudah terdapat 8,336 kes kemalangan.

Jumlah kematian pula ialah 78 orang, membabitkan  76 kemalangan dahsyat.

Anda pasti tidak mahu menjadi sebahagian daripada angka itu. Anda tentu tidak mahu bertukar jadi mayat di jalan raya.

Jadi, tidak payahlah berlagak dan mahu jadi hero di jalan raya.

Ya, kami tahu kereta anda kereta mewah dan berkuasa tinggi, dan daripada jenama hebat.

Kami juga tahu kereta anda kereta baharu.

Tetapi, ini bukan masa untuk berlagak, dengan memecut di jalan raya, tanpa mempedulikan keselamatan pemandu dan kenderaan lain.

Kami juga tahu anda berdarah muda. Tetapi ini bukan masa untuk memecut. Bertimbang rasalah. Pandulah dengan berhemah dan penuh tanggungjawab.

Sebab, bukan hanya nyawa anda yang berdepan risiko melayang. Nyawa mereka dalam kereta yang anda pandu juga dalam bahaya. Dan juga pemandu dan penumpang dalam kenderaan lain.

Jadilah hari raya ini masa untuk mengubah sikap. Pandulah dengan penuh disiplin, dan bukannya menjadi pemandu syaitan. Insya-Allah anda dan keluarga akan sampai di destinasi dengan selamat.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Maaf zahir dan batin daripada kami di Sarawakvoice.