Yakeb terima sumbangan RM3 juta dari PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan kerajaan Persekutuan berjumlah RM3 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk disalurkan bagi kebajikan bekas atlet negara.

Replika cek sumbangan berkenaan disampaikan Najib selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Yakeb diketuai pemangku Pengerusinya Mohamad Azlan Iskandar dan beberapa ahlinya yang hadir ke Perdana Putra di sini semalam.

Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri bertanyakan khabar dan kebajikan bekas-bekas atlet kebangsaan kepada wakil Yakeb.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut, Najib berkata sememangnya menjadi hasrat kerajaan untuk membantu Yakeb kerana yayasan itu menjaga kebajikan bekas atlet negara.

“Kerajaan akan lakukan segala usaha kerana selepas mereka berhempas-pulas menaikkan nama Malaysia walaupun tidak aktif lagi, kebajikan mereka perlu dijaga dengan sebaik mungkin,” katanya.

Antara bekas atlet yang hadir pada majlis penyampaian sumbangan itu ialah legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek, bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Santokh Singh dan bekas ratu pecut kebangsaan Datuk M. Rajamani.

“Dengan sumbangan sebanyak RM3 juta hari ini, saya harap Yakeb dapat salurkan kepada bekas-bekas atlet negara,” kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri berharap kisah perjuangan bekas atlet negara dalam lapangan sukan masing-masing akan menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu untuk meneruskan pencapaian dalam bidang sukan sekali gus meletakkan sukan negara pada tahap lebih tinggi.

Misbun ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan itu berkata, beliau terharu dengan sumbangan yang disalurkan kepada Yakeb.

“Sumbangan ini sangatlah bermakna terutama kepada bekas atlet negara yang kini menghadapi masalah kesihatan dan kewangan,” katanya.

Rajamani pula berkata atlet baharu perlu mengambil pengajaran daripada keadaan bekas atlet negara sekarang yang hidup tanpa sebarang pencen mahupun sumber kewangan yang lain.

Mohamad Azlan ketika ditemui berkata sumbangan ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu kebajikan bekas atlet kebangsaan terutamanya mereka yang menghadapi masalah kesihatan dan memerlukan wang untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, Yakeb turut memberi sedikit sumbangan apabila ada pasangan kepada bekas atlet negara meninggal dunia.

Mohamad Azlan berkata Yakeb, yang didaftarkan pada 2007, kini mempunyai 3,000 ahli yang sekurang-kurangya pernah mewakili negara di peringkat Sukan SEA. Bernama