Siapa mahu Ronaldo, tebus dulu kontrak RM4.7 bilion dengan Madrid

MADRID: Jika Cristiano Ronaldo mahu perpindah ke pasukan lain, sudikah kelab lain menebus kontraknya yang masih terikat dengan Real Madrid?

Presiden Real Madrid Florentino Perez menegaskan Pemain Terbaik Dunia FIFA 2016 itu hanya akan meninggalkan pasukannya sekiranya ada kelab mampu menebus kontraknya bernilai €1 bilion (RM4.7 bilion).

Mungkinkah China berjaya memujuk Ronaldo dan sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu?

Namun, penasihat mengatakan Ronaldo hanya mahu berada di Eropah sehingga kemungkinan ke Paris St-Germain atau kembali ke Liga Primer Inggeris.

Ronaldo bergabung dengan Real Madrid selepas berpindah dari Manchester United dengan nilai perpindahan €80 juta (RM376 juta) pada 2009.

Beliau menandatangani kontrak lima tahun lagi dengan Real Madrid pada November 2016.

Perez ternyata kecewa dengan tuduhan “penjenayah” yang dilabelkan kepada bintang Portugal itu selepas beliau dikaitkan dengan isu cukai oleh mahkamah Sepanyol.

Sebelum ini, penyerang utama Real Madrid, Cristiano Ronaldo, 32, sedih dan terganggu dituduh mengelak cukai €14.7 juta (RM70 juta) dari 2011-2014.

Menurut BBC, Ronaldo atau CR7 merasakan dirinya jujur dan berperangai baik, ternyata tuduhan tersebut mengecewakannya sehingga beliau melahirkan keinginan meninggalkan kelab Sepanyol itu.

Ronaldo membantu Real Madrid menjuarai tiga kali Liga Champion dan dua kali juara La Liga.

Pihak pendakwa di Madrid baru-baru ini memfailkan aduan ke mahkamah di Pozelo de Alarcon menuduh Ronaldo tidak membayar cukai.

Mereka turut mendakwa Ronaldo menubuhkan struktur perniagaan pada 2010 bagi merahsiakan pendapatan hasil hak komersial.

Menurut perkembangan terbaru, Reuters melaporkan, Ronaldo sedia membayar cukai pihak berkuasa Sepanyol menjelang sesi pendengaran di mahkamah bulan depan.

Ronaldo sekali lagi mengulangi bahawa beliau tidak bersalah dan tidak pernah menyembunyikan apa-apa pendapatan atau melakukan sebarang penipuan cukai di Sepanyol. – Sarawakvoice