Selepas berkelahi dengan Nazri, Sarawak akur laksana Cukai Pelancongan

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak hari ini bersetuju untuk melaksanakan Cukai Pelancongan yang dicadangkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pusat, setelah dilakukan sedikit penyesuaian terhadapnya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan itu diputuskan Kabinet Sarawak semalam.

Penyesuaian itu adalah hasil perbincangan di antara Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada pertemuan mereka pada minggu lalu.

“Hasil perbincangan itu, Perdana Menteri telah bersetuju agar kutipan cukai pelancongan ini dibahagi rata kepada tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Seperkara lagi, dimaklumkan bahawa rakyat tempatan dikecualikan daripada membayar cukai ini di hotel-hotel bertaraf tiga bintang ke bawah,” katanya dalam sidang media di pejabatnya semalam.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat pascakabinet kementerian tersebut.

Mesyuarat kabinet pertama Datuk Amar Abang Johari Tun Openg selepas rombakan kabinet berlangsung selama tiga jam setengah, bermula 10 pagi semalam.

Akan tetapi kata Abdul Karim, rakyat Malaysia masih perlu membayar cukai tersebut sekiranya menginap di hotel-hotel bertaraf empat dan lima bintang.

“Kerajaan Negeri Sarawak yakin cukai ini selepas penyesuaiannya tidak akan terlalu membebankan rakyat, terutama untuk membolehkan mereka berkunjung dan melancong di dalam negara.

Hasil cukai ini katanya, juga akan diberikan terus kepada Kerajaan Negeri dan akan digunakan untuk tujuan promosi pelancongan.

Dalam sidang media itu, beliau menaruh keyakinan banawa pelaksanaannya akan dilewatkan sedikit kerana cadangan pelaksanaan 1 Julai tinggal beberapa hari sahaja lagi.

“Tetapi kebanyakan pengusaha masih belum menerima notis mengenainya.

Penyesuaian cukai baharu ini jelasnya, diyakini akan diguna pakai di seluruh negara, bukan terhad kepada Sabah dan Sarawak sahaja.

Sebelum ini timbul pertikaian di antara Abdul Karim dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz selepas beliau menyatakan bantahan Kerajaan Negeri akan pelaksanaan cukai tersebut.

Insiden tersebut menyebabkan rakyat Sarawak bersolidariti mengecam Nazri setelah beliau melabel Abdul Karim setahun jagung, jahil serta samseng. – Sarawakvoice