Hari kemenangan harungi cabaran nafsu, kata Pesuruhjaya Pas Sarawak

KUCHING: Pas Sarawak hari ini berkata, Hari Raya Aidilfitri  ialah hari untuk  umat Islam menyambut kemenangan  mengharungi cabaran nafsu dengan melaksanakan berbagai-bagai aktiviti ibadah dan kebajikan sama ada secara individu atau berjemaah.

Kata Pesuruhjaya Negeri Pas, Jofri Jaraiee, sesungguhnya kejayaan hakiki seorang hamba di sisi Allah SWT adalah apabila dikurniakan dengan keredaan Allah dalam apa-apa juga tindakan dan amalannya.

“Ramadan telah mendidik kita bagaimana mendapat reda Allah di dalam ibadah maka reda Allah jualah yang kita cari di dalam kehidupan kita yang lain sama ada dalam pergaulan suami isteri dan ahli keluarga, pergaulan dalam bermasyarakat, lebih-lebih lagi kita sangat mengharapkan redha Allah dalam bernegara melalui politik Islam,” katanya dalam perutusan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1438H.

Umat Islam dijangka meraikan sambutan Aidilfitri Ahad ini dengan  cuti umum diiisytiharkan dua hari  mulai Isnin untuk penjawat awam kerajaan.

Orang ramai mulai berpusu-pusu ke pangkalan feri dan lapangan terbangan di seluruh negara termasuk di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu untuk meraikannya bersama-sama keluarga di kampung halaman.

Kata Jofri, kejayaan atau kemenangan bukan hanya di dunia tetapi yang sangat  diharapkan ialah kejayaan ketika bertemu Allah SWT di akhirat nanti.

“Marilah kita terus beristiqamah menggapai redha Allah di dalam kehidupan kita. Perjuangan mencapai redha Allah pasti akan berhadapan cabaran dan ujian dari Allah sama ada dari musuh luaran yang terdiri daripada manusia yang akan sentiasa menghalang dan menentang perjuangan Islam dan tidak kurang juga musuh dari dalam diri kita sendiri iaitu nafsu,” tambahnya.

Namun, tegasnya, dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini janganlah pula lupa saudara seagama yang sedang bergelut dan berjuang mempertahankan agama Allah di seluruh dunia.

Ini, kata beliau, khususnya di negara-negara umat Islam yang sedang bergolak dan diperangi oleh musuh-musuh Allah seperti di Palestin, Syria, Iraq, Yaman, Mesir, Yaman, Myanmar dan Qatar serta seluruh negara umat Islam.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal kita dan pesanan saya, penuhilah sambutan Hari Raya kali ini dengan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, eratkan ukhuwwah sesama umat Islam kerana dengan kekuatan ukhuwwah Islamiyyah, umat Islam akan mendapatkan kembali kekuatannya beserta redha Allah SWT,” katanya lagi. – Sarawakvoice