Kanak-kanak 6 tahun diperkosa sepupu sendiri berusia 14 tahun di Kampung Buntal malam tadi

KUCHING: Ketika orang lain teruja dan gembira menyambut Syawal, hati seorang nenek di Kampung Buntal di sini luluh, apabila mendapat tahu cucunya yang berusia 6 tahun 10 bulan, diragut dara secara paksa.

Lebih memilukan wanita berusia 56 tahun itu, pelakunya adalah cucunya sendiri, iaitu sepupu mangsa yang berusia 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian disedari oleh nenek atau pengadu tersebut sekitar jam 8.30 malam tadi apabila mangsa mengadu kemaluannya sakit.

“Pengadu kemudian mendapati berlaku pendarahan pada celah peha dan kemaluan mangsa.

“Mangsa kemudian memberitahu bahawa suspek telah bertindak memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan mangsa ketika mereka berada di bilik air.

Kata Abang Ahmad, mangsa tinggal bersama-sama neneknya dan suspek merupakan cucunya yang menetap di Lundu.

“Suspek bagaimanapun pulang ke Kuching untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga.

“Difahamkan ketika kejadian, hanya mangsa dan suspek berdua-duaan di rumah tersebut.

Mangsa jelas Abang Ahmad kemudian telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak dan hasil pemeriksaan doktor pakar sakit puan mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada selaput dara mangsa.

“Mangsa kini ditempatkan ke Wad Padiatrik Hospital Umum Sarawak untuk rawatan selanjutnya.

Kata Abang Ahmad lagi, tiada tangkapan dilakukan ketika ini kerana suspek merupakan seorang juvana.

“Sebaliknya, suspek akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk proses kaunseling.

“Kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana memperkosa gadis bawah umur,” katanya.

Ketika musim perayaan ini, Abang Ahmad menasihatkan ibu bapa agar tidak membiarkan anak-anak mereka bersendirian tanpa pengawasan.

“Ini kerana jenayah seperti ini merupakan jenayah yang disandarkan kepada peluang yang terhidang,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice