Kuching tuan rumah Kejohanan Olahraga Masters Antarabangsa Terbuka Malaysia 2017

KUCHING: Bekas raja pecut negara, yang lebih dikenali sebagai The Flying Dayak, Watson Nyambek dijangka mengetuai penyertaan Sarawak dalam Kejohanan Olahraga Masters Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-31 yang akan berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching pada 22 hingga 23 Julai depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lebih 600 penyertaan dijangka diterima dalam kejohanan ini, termasuk 520 daripada atlet luar negara.

“Tarikh tutup kejohanan adalah pada 30 Jun depan dan dijangka penyertaan akan meningkat menjelang tarikh tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Karim berkata, ini merupakan julung kali Sarawak menjadi tuan rumah kejohanan ini, dan ia menawarkan sebanyak 700 pingat.

“Kita akan menyaksikan jaguh-jaguh sukan olahraga tanah air, yang pernah mewakili negeri dan negara, bertarung sekali lagi, ketika usia mereka mencecah taraf veteran.

Katanya, kebanyakan peserta dalam kejohanan kali ini akan datang dari Semenanjung Malaysia, selain Sabah dan Sarawak.

“Mereka akan bersaing dengan atlet-atlet veteran dari Uzbekistan, Sri Lanka, Nepal, Singapura, Indonesia, Hong Kong dan  Brunei.

Kejayaan penganjuran kejohanan ini tambahnya, penting kerana Kerajaan Negeri kini sedang membida untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Masters Asia ke-21 pada tahun 2019.

“Ia kejohanan yang istimewa kerana mampu menarik sehingga 1,500 penyertaan daripada sekurang-kurangnya 30 negara.

“Pembidaan ini sesuai dengan hasrat kita untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan,” jelasnya lagi.

Kejohanan ini terbuka kepada atlet-atlet bertaraf “masters” iaitu yang berumur 35 hingga 80 tahun, dan akan beraksi dalam kategori umur yang ditetapkan. – Sarawakvoice