KAPIT: Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat mengalu-alukan rakyat di kawasan beliau yang memerlukan bantuan agar menghubungi Pusat Khidmat DUN Bukit Goram, Tingkat 1, yang dibuka setiap Isnin-Jumaat.

Bercakap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Richard Unggat, Nanga Stapang Ili, Batang Rajang, Jamit berkata selaku wakil rakyat, beliau bertanggungjawab merancang lebih banyak program pembangunan demi manfaat rakyat luar bandar.

Beliau memuji sikap masyarakat yang semakin matang pada hari ini menjadikan wakil rakyat perlu bersungguh berkhidmat untuk rakyat.

Jamit berjanji, beliau bersama-sama Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi berkhidmat sebaiknya demi manfaat rakyat di kawasan berkenaan.

Sebagaimana dilaporkan Utusan Sarawak pada Khamis, pada majlis tersebut Jamit mengumumkan kerajaan meluluskan kos RM15 juta bagi pembinaan jalan raya yang mampu menghubungkan semua rumah panjang di kawasan Sungai Stapang, Batang Rajang.

Jalan raya dibina demi kemudahan penduduk di kawasan terbabit yang sebelum ini hanya bergantung dengan pengangkutan sungai sahaja sebagai penghubung mereka dengan kawasan lain.

Jamit berkata, pada musim kemarau, pengangkutan sungai amat mencabar kerana paras air yang cetek.

Hal ini menjadikan perjalanan memakan masa dan meletihkan kerana banyak tenaga diperlukan untuk menarik perahu panjang melalui kawasan cetek berkenaan.

Beliau percaya pembinaan jalan raya ini memberi kemudahan kepada penduduk setempat. – Sarawakvoice