Bina lebih banyak jambatan lancarkan 2.5 juta pengguna aliran trafik jalan pesisir

SEBUYAU: Sejumlah 2.5 juta pengguna aliran trafik di semua jalan pesisir pantai menggunakan perkhidmatan feri di seluruh Sarawak pada sepanjang tahun.

Data setahun menunjukkan pengguna yang menaiki khidmat feri Batang Rambungan ialah 871,512, Batang Lupar (356,088) Batang Saribas (276,732), Sungai Krian (120,008), Batang Paloh (377,166), Batang Lasa (392,686) dan Batang Igan 184,187.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan (Jalan Pesisir) Datuk Julaihi Narawi menyifatkan aliran trafik yang semakin meningkat, memberi indikator perlunya pembinaan lebih banyak jambatan menggantikan perkhidmatan feri di beberapa jalan pesisir di negeri ini.

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Khamis, Ahli Dewan Undangan Negeri Sebuyau itu berkata, pembinaan jambatan penting melancarkan perhubungan, menjimatkan masa serta merancakkan ekonomi rakyat luar bandar.

Bercakap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Pejabat Daerah Sebuyau, Julaihi berkata projek jalan pesisir wajar dilengkapi kemudahan jambatan demi memberi kemudahan dan manfaat kepada penduduk setempat.

Tambahan lagi kewujudan pekan di kawasan pesisir yang dikelilingi kampung di sekitarnya berperanan sebagai pusat pengumpulan sumber tani dan hasil laut masyarakat setempat.

Dengan lancarnya pembinaan jalan pesisir yang turut dirancakkan dengan prasarana pembinaan jambatan mampu membantu meningkat dan menjana pendapatan rakyat setempat. – Sarawakvoice