PRU-14: Janji  ‘hebat’ Pakatan Harapan untuk  Sabah, Sarawak

Pakatan Harapan memang kreatif dan imaginatif dalam  usaha memancing emosi dan undi rakyat di Sabah dan Sarawak.

Lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya.

Dua hari lalu, Pakatan Harapan mengemukakan tawaran baharu – new deal – untuk Sabah dan Sarawak.

Sedangkan banyak tawaran dan janji mereka pada 2008 dan 2013, belum pun ditunaikan.

Berbanding Barisan Nasional, sebahagian besar janji dalam manifestonya telah pun dipenuhi.

Komitmen untuk memastikan Sabah dan Sarawak maju seperti Semenanjung, dimanifestasikan daripada kunjungan kerap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Sabah dan Sarawak.

Berapa kalikah Lim Guan Eng dan Azmin Ali mengunjungi Sabah, Sarawak setakat ini?

Kini, ada hati pula hendak menaburkan janji baharu dan tawaran baharu.

Tawaran baharu itu merupakan satu jenama halus untuk memujuk rakyat di kedua-dua negeri terbabit.

Tujuannya, menurut parti pembangkang itu adalah bagi mendapatkan hak yang sewajarnya terhadap penduduk Sabah dan Sarawak.

Anehnya, tawaran sepenting itu dikemukakan pemuda Pakatan Harapan (PH).

Mengapa tidak tawaran sepenting itu dikemukakan oleh Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Adakah Muhiyiidin dan Mahathir anggap rakyat Sarawak dan Sabah tidak penting di mata mereka berdua.

Adakah pakatan pembangkang fikir ia hanya sesuai dikemukakan oleh Pemuda?

Tawaran baharu itu dikatakan akan menjadi salah satu manifesto mereka pada pilihan raya umum ke-14.

Kita perlu jujur kepada kebenaran, berapa banyakkah janji Pakatan Harapan dalam dua PRU lalu dikotakan?

Boleh kata hampir nol!

Benarkah dakwaan Ketua DAPSY Kebangsaan Wong Kah Woh seperti dipetik media, Sabah dan Sarawak menjadi mangsa kerajaan Persekutuan sejak berpuluh-puluh dekad lalu?

Hanya orang yang punya agenda dan motif politik dan punya udang di sebalik batu sahaja tidak nampak apa-apa yang telah dibawa oleh kerajaan persekutuan di Sabah dan Sarawak dalam tempoh 54 tahun lalu.

Kecualilah mereka sengaja bertindak membutakan mata dan memekakkan telinga.

Bagi mencapai tujuan asal penubuhan Malaysia,  maka Sabah dan Sarawak kononnya perlu diberi autonomi yang lebih kukuh dan bermakna berbanding yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Sedangkan sebenarnya, rakyat tahu bahawa ini sekadar permainan politik.

Mereka sanggup menjanjikan bulan dan bintang.

Pakatan Harapan berkata, ia mahu mengiktiraf status rakan kongsi setara Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan, serta desentralisasi kuasa dan hasil cukai.

Dalam sidang media berkenaan, Wong menjelaskan, pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia sesuatu yang tidak boleh dielak.

Untuk itu, Pemuda Pakatan Harapan berjanji  supaya autonomi bagi Sabah dan Sarawak dikembalikan dengan perkongsian 50 peratus hasil cukai yang dikutip daripada kedua-dua negeri itu.

Adakah itu realistik. Sebagai negara yang mengamalkan sistem persekutuan, Pakatan Harapan mungkin lupa bahawa tidak mungkin peratusan sedemikian tinggi diberikan kepada mana-mana negeri.

Mereka juga menjanjikan lebih banyak peluang pekerjaan dengan berjanji untuk mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun pembangkang mengambi alih kuasa.

Pakatan Harapan mungkin tidak sedar bahawa kerajaan Sabah dan Sarawak mempunyai perancangan konkrit dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak daripada itu.

Misalnya, di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan, termasuk melalui ekonomi digital dan e-perniagaan.

Betulkah pimpinan Pakatan Harapan mempunyai wawasan dan pandangan yang lebih hebat untuk Sabah dan Sarawak sebagaimana didakwanya dengan angkuh?

Atau semua itu janji kosong dan omong kosong parti yang taasub untuk mendapat kuasa.

Buktinya, tengok sahaja yang terjadi di Pulau Pinang dan Selangor.

Banyak janji yang terkandung dalam manifesto gagal dikotakan meskipun sudah diberi mandat sejak 2008.

Sanggup dan bersediakah kita menyerahkan masa depan Sarawak dan Sabah kepada golongan yang hanya bijak berkata-kata? – Sarawakvoice