Dua pelajar sekolah bergaduh, bertumbuk tular di Facebook

NILAI: Bagai tidak kesudahan keganasan dan perkelahian berlaku dalam kalangan remaja akhir-akhir ini.

Terbaharu, kejadian yang mendapat perhatian netizen dan polis membabitkan pergaduhan antara dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di kawasan taman permainan di Mantin, di sini.

Aksi ganas dipaparkan melalui video 1 minit 15 saat berkenaan tular di Facebook, sejak kelmarin.


Difahamkan video itu dirakamkan pelajar lain yang menyaksikan pergaduhan yang  dipercayai membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin.

Kedua-dua mereka kelihatan berbalas-balas tumbukan berdekatan kawasan sekolah, dengan seorang kelihatan berjaya menumbuk dan mencekik leher dan kepala pelajar lain.

Puluhan pelajar lain yang masih berpakaian seragam  kedengaran bersorak dan melakukan provokasi.

Namun, ada juga pelajar yang cuba meleraikan pergaduhan itu.

Sumber memberitahu bahawa pergaduhan itu tercetus susulan provokasi dan cabar-mencabar yang dilakukan melalui facebook antara kedua-duanya.

Mereka dan ibu bapa terbabit difahamkan telah dipanggil polis semalam, dan mereka saling memohon maaf, manakala ibu bapa tidak mahu melanjutkan kes berkenaan. – Sarawakvoice