KUALA LUMPUR: DAP bukan setakat tidak mahu melaksanakan Islam, malah anti-Islam walaupun di dalamnya ada beberapa orang pemimpin Melayu, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Menurut Dr Azman Ibrahim,  PAS ialah sebuah parti yang telah begitu lama berjuang di persada politik tanah air.

“Kewujudannya telah menjangkau usia 66 tahun. Kematangan dan ketahanan PAS melalui jatuh bangun serta kalah menang dalam perjalanan yang panjang ini usah dipertikaikan lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, ujarnya,  PAS ialah sebuah parti yang jauh lebih kukuh berbanding parti-parti lain dalam pakatan pembangkang dari segi aspek jentera parti, jumlah cawangan serta keahlian di peringkat akar umbi.

Kenyataan itu susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak  semalam yang menyatakan bahawa PAS  meninggalkan pakatan pembangkang ialah kerana dibuli oleh DAP.

Kata Azman, selama 66 tahun PAS teguh mempertahankan prinsip perjuangan dengan meletakkan Islam sebagai dasar.

“Ketika berpakat atau berpisah dengan mana-mana parti lain, syarat utama PAS ialah Islam,” jelasnya.

“Tidak ada kompromi dan tolak ansur dalam mempertahankan prinsip Islam walau dengan siapa sekalipun PAS membuat kerjasama,” tegasnya.

“Ibarat seorang kawan yang naik satu kereta bermusafir bersama kita, bila masuk waktu solat, kalau pun mereka tak mahu solat, sekurang-kurangnya mereka bersetuju untuk berhenti dan tunggu sehingga kita selesai solat. Bukan kita nak paksa mereka solat. Tapi ternyata DAP bukan setakat tak mahu solat, malah mereka juga menentang keras untuk kita berhenti seketika bagi menunaikan solat. Maka DAP tak layak lagi dibuat kawan,” tambahnya.

Kata beliau lagi, mereka yang tak faham akan mengatakan PAS telah meninggalkan pakatan pembangkang kerana dibuli, tapi mereka yang faham akan melihat dengan jelas bahawa halangan dan penentangan DAP terhadap Islam adalah punca PAS meninggalkan rakan tahaluf dalam pakatan pembangkang.

“Tahaluf bukannya dilaksanakan semata-mata kerana nak menang ke Putrajaya tanpa menghiraukan soal bagaimana dan dimana nanti syariat Allah mengambil peranan dalam mengisi kemenangan,” katanya. – Sarawakvoice