Sibu perlukan banyak pembangunan

SIBU: Lebih banyak pembangunan perlu diwujudkan di bandar ini bagi memastikan ia setanding dengan bandar-bandar lain di Sarawak.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek, Chieng Buong Toon (gambar) berkata, pembangunan di Sibu dilihat perlahan dalam tempoh beberapa tahun ini jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain.

Sebagai contoh, katanya, Transit Aliran Ringan (LRT) telah dicadangkan untuk dibina di Kuching.

“Difahamkan, baru-baru ini Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mencadangkan untuk membina sistem LRT yang menyambungkan Ku– ching, Samarahan dan Serian.

“Manakala di Sibu, setiap hari kita masih membincangkan mengenai jalan yang ditenggelami air, kegagalan sistem perparitan, banjir kilat dan sebagainya,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas upacara menaikkan bendera SUPP sempena Ulang Tahun Ke-58 SUPP di pejabat SUPP Sibu di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, sudah bertahun-tahun lamanya, masalah sama diperkata dan berbincangkan. Katanya, keadaan yang berlaku itu memberi makna bahawa bandar Sibu masih lagi ketinggalan daripada segi pembangunan.