Kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan kemasukan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) oleh syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia di sini, memandangkan kemudahan itu mampu meningkatkan jumlah kemasukan pelancong asing ke Bumi Kenyalang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembinaan LCCT itu jika menjadi kenyataan akan menjadikan Kuching sebagai pintu masuk dan hab serantau AirAsia.

Ketika ini, katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sudah hampir mencapai kapasiti maksimum lima juta penumpang setahun.

“Untuk melihat lebih ramai pelancong datang ke negeri ini, kita perlu mempu– nyai kemudahan dan jika lapangan terbang kita sudah mencapai tahap maksimumnya, maka kita perlu mengambil kira sesuatu yang lain,” katanya dalam sidang akhbar semasa menyambut ketibaan penerbangan sulung AirAsia dari Pontianak ke Kuching di LTAK di sini, baru-baru ini.

Penerbangan sulung itu membawa rombongan disertai oleh Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio Pontianak, Bayuh Iswantoro; Pemangku Pengarah Komersial AirAsia Indonesia, Rifal Taberi dan sekumpulan wartawan Indonesia. Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, penerbangan AirAsia KuchingPontianak akan menyumbang kepada sasaran seramai lima juta orang pelawat ke negeri ini pada tahun ini.

Katanya lagi, ia juga akan menyumbang kepada sektor pelancongan perubatan dan pendidikan di negeri ini yang mendapat sambutan baik khususnya daripada warga Indonesia.

Justeru, ujarnya, kemudahan lain seperti hotel perlu dipertingkatkan lagi khususnya di bandar raya ini sebelum memikirkan mengenai LCCT.

“Jika kita hanya membuat perkiraan untuk penerbangan tetapi tidak melakukan perkara lain untuk menjadikan pelancong berasa dialukan dan mempunyai pengalaman yang menarik di Kuching, maka ia adalah tidak berbaloi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, pihaknya sedia berbincang dengan kerajaan negeri mengenai LCCT jika terdapat keperluan di bandar raya ini. Tambahnya, memandangkan LTAK sudah hampir mencapai kapasiti maksimum, beliau fikir sudah tiba masanya pihak berkaitan memikirkan alternatif untuk memperluaskan lagi lapangan terbang.