50 tahi judi tewas dalam 20 serbuan Polis Sarawak minggu lalu

KUCHING: Polis Sarawak meneruskan operasi dan serbuan terhadap aktiviti judi haram dalam usaha membanteras aktiviti itu di negeri ini, kata Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar.

Sepanjang minggu lalu katanya, sebanyak 20 serbuan telah berjaya dilakukan, manakala 50 individu berjaya ditahan.

“Daripada jumlah itu, 17 serbuan melibatkan penjualan 4D haram.

“Dua serbuan dilakukan di Padawan oleh pasukan Siasatan Jenayah daripada IPK Sarawak, enam serbuan di Miri dan masing-masing dua serbuan di Padawan, Sibu Limbang dan Sri Aman.

Sebanyak satu serbuan katanya, masing-masing dilaksanakan oleh IPD Bintulu, Sarikei, Kanowit dan Kota Samarahan.

Menurut Dev, daripada 17 serbuan judi 4D haram tersebut, pihaknya berjaya menangkap 21 suspek dan merampas wang tunai berjumlah RM10,185.

Turut dirampas telefon bimbit, mesin cetak, kalkulator, slip pertaruhan dan pelbagai alat tulis.

“Serbuan turut dilakukan terhadap aktiviti judi siber di Limbang, yang membawa kepada penangkapan enam individu dan rampasan satu mesin judi.

“Wang tunai berjumlah RM1,167 yang dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian juga berjaya dirampas di kaunter.

Pada 13 Jun, kata Dev, pasukan Siasatan Jenayah IPD Miri diketuai Inspektor Nasrul Hadi telah menyerbu satu gelanggang sabung ayam di Jalan Pujut – Padang Kerbau.

“Seramai 13 individu dicekup ketika cuba melarikan diri sebaik melihat ketibaan pasukan polis.

“Pelbagai peralatan perjudian termasuk tiga ekor ayam sabung turut dirampas.

Serbuan katanya, turut dilaksanakan oleh pasukan daripada IPK Sarawak di kaki lima rumah kedai di Taman Malihah, dekat sini.

“Seramai 10 individu telah diberkas kerana terlibat dalam aktiviti tersebut.”

Kata Dev, mereka yang ditangkap berusia sekitar 16 hingga 63 tahun, dengan 38 daripada mereka adalah lelaki.

“Sebanyak sembilan serbuan pula dilakukan di rumah kedai, tujuh di kedai kopi dan dan empat di kawasan awam, termasuk laluan kaki lima.

Kesemua kes dan tangkapan akan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Menghalang Kekejaman Terhadap Haiwan 1962. – Sarawakvoice