Status kerakyatan calon pilihan raya: Pas Sarawak cadang kerajaan lakukan tapisan

KUCHING: Kerajaan perlu melaksanakan tapisan wajib bagi mereka yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya di negara ini, kata Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan berkata kerajaan perlu membuat tapisan terhadap bakal calon sebelum dibenarkan bertanding pada pilihan raya.

Untuk itu, beliau menggesa langkah itu dilaksanakan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

PRU dijangka diadakan seawal-awalnya pada September ini.

“Kami tidak mahu isu ini berlaku lagi kerana ia akan membazirkan wang rakyat sekiranya pilihan raya kecil perlu diadakan bagi menggantikan seseorang wakil rakyat, tak kiralah dari kerajaan atau pembangkang, yang didapati memiliki dua kerakyatan,” ujarnya.

Kenyataan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching semalam mengisytiharkan tindakan Dewan Undangan Negeri Sarawak melucutkan statusnya Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut Dr Ting Tiong Choon sebagai tidak sah pada 12 Mei lalu berkaitan isu dwikerakyatan yang didakwa dimilikinya. – Sarawakvoice