Kes Adun Pujut: Asfia perlu telan pil pahit

Dalam sistem demokrasi, doktrin pengasingan kuasa amat penting sentiasa dipelihara.

Doktrin itu menetapkan supaya tiga tunjang kuasa — badan eksekutif, perundangan dan, kehakiman dipisahkan kerana ketiga-tiganya mempunyai peranan yang tersendiri.

Tujuan doktrin pengasingan kuasa adalah untuk mengelakkan pertindihan bidang kuasa, iaitu pihak yang sama tidak terlibat dalam pengurusan lebih daripada satu kuasa dan  mengelakkan penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa pada sesebuah badan tertentu.

Selain itu, ia juga bagi membolehkan setiap badan bertindak tanpa diganggu atau dipengaruhi oleh badan yang lain.

Negara ini  mengamalkan doktrin pengasingan kuasa yang menekankan kuasa relatif antara badan perundangan, badan eksekutif, dan badan kehakiman.

Dalam kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut, Dr Ting Tiong Choon jelas membuktikan bahawa berlaku pelanggaran terhadap prinsip asas dalam doktrin tersebut.

Dalam konteks ini, Dewan Undangan Negeri tidak boleh memainkan peranan menghakimi.

Peranan menghakimi perlu diserahkan kepada badan kehakiman, manakala tugas badan perundangan, iaitu Dewan Undangan Negeri ialah menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang.

Prinsip penting dalam demokrasi ialah keadilan, dan jika keadilan tidak diberi, maka kejadian seperti yang telah berlaku, telah pun berlaku.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar tidak memberi masa secukupnya kepada Dr Tiong untuk mempertahankan diri apabila usul itu dikemukakan pada 10.30 pagi 12 Mei lalu dan secara tergesa-gesa membuat keputusan melucutkan kelayakannya.

Malah,  ada pihak yang menganggapnya tidak adil apabila usul itu sengaja untuk memerangkap Dr Ting dan DAP, kerana mereka tidak diberi masa mencukupi membuat persiapan dari segi hujah.

Kes ini bukan sahaja perlu menjadi teladan, terutama Speaker yang berkuasa dan parti yang mendapat majoriti supaya tidak menyalahgunakan kuasanya.

Hal ini selari dengan kata-kata pengerusi  DAP Sarawak Chong Chieng Jen bahawa kes berkenaan harus menjadi teladan bagi semua orang supaya “menghormati undang-undang, perlembagaan, prinsip keadilan asasi  dan kemunasabahan dalam membuat keputusan, dasar dan undang-undang”.

Kes ini sudah tentu membuka mata semua pihak, dan diakui mencalar imej DUN Sarawak.

DAP pasti akan memanipulasikan isu ini dalam pilihan raya umum akan datang.

Justeru, ia perlu  menjadi teladan bagi pihak lain supaya sentiasa mematuhi prosedur ditetapkan pada masa depan.

Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai Adun Pujut pada 12 Mei lepas berikutan usul yang dikemukakan Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Sri Wong Soon Koh yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang mendakwa beliau mempunyai dua kerakyatan, iaitu Malaysia dan Australia.

Dr Tiong Choon kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuching bagi mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak.

Bagaimanakah Speaker bertindak tempoh hari?

“…Speaker telah menafikan asas pertama keadilan asasi dan satu lagi ialah beliau tidak boleh menjadi hakim bagi kesnya sendiri dan dalam kes ini, Speaker bertindak sebagai pendakwa dan hakim, sedangkan perkara ini tidak dibolehkan kerana ia bercanggah dengan asas kedua dalam keadilan asasi,” kata Chong yang juga Adun Kota Sentosa ketika mengulas keputusan mahkamah, khasnya merujuk kepada Asfia.

Hakim juga menyatakan bahawa Speaker melakukan kesilapan apabila membuat tafsiran tentang undang-undang, khususnya Perkara 23(1) dan 24(1).

Malah, hakim Datuk Douglas Christo Primus Sikayun berkata Speaker membuat keputusan melampaui bidang kuasanya.

Pembangkang yang hanya mempunyai 10 wakil rakyat mudah tewas di tangan Barisan Nasional.

Sebanyak 70 menyokong dan 10 tidak bersetuju dengan usul itu.

Kes ini sekali lagi membuktikan betapa pentingnya doktrin pengasingan kuasa dijunjung tinggi bagi mengelak salah guna kuasa.

Sesuatu badan  atau individu yang mewakili badan terbabit tidak boleh membuat keputusan yang melampaui bidang kuasanya. Secara khusus, seorang pemimpin utama tidak boleh menjadi polis, pendakwa dan hakim. Seorang Speaker juga tidak boleh menjadi hakim. Serahkan kuasa menjatuhkan hukuman kepada hakim di mahkamah.

Kes ini merupakan pengajaran dan pil pahit yang perlu ditelan Asfia. – Sarawakvoice

Gambar fail