SIMUNJAN: Usaha kerajaan menyelesaikan masalah rakyat menjadi mudah sekiranya penduduk kampung dan pemimpin akar umbi di kawasan itu mempunyai hubungan kerjasama yang baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu, kerjasama masyarakat dengan pemimpin kampung juga dapat memastikan program pembangunan untuk kawasan mereka dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Sebab itu, saya dan wakil rakyat kita (Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan) Awla Dris sentiasa berbincang untuk mengenal pasti apakah lagi yang perlu ditambah baik demi kesejahteraan penduduk di kawasan Simunjan.

“Begitu juga dengan anda semua di mana kami mengharapkan penduduk kampung dan pemimpin peringkat akar umbi sentiasa bekerjasama kerana ini akan memudahkan kita memperbaiki keadaan kampung,” katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Zon Sungai Apin di Masjid Darul Taqwa, Simunjan di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Nancy menyampaikan sumbangan kepada 79 penerima terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal, orang kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU).

Turut mendapat sumbangan ialah tiga masjid dan dua surau di sekitar Kampung Sungai Apin, Simunjan. Dalam pada itu, katanya, beliau berharap penduduk dapat memastikan peruntukan yang diberikan kerajaan digunakan sebaiknya.

Selain itu, beliau turut meminta masyarakat Islam di kawasan itu supaya memelihara dan menjaga kebersihan masjid dan surau. “Orang luar (masyarakat Islam) yang datang ke kawasan kita sudah tentu akan singgah di masjid atau surau kita dan mereka yang pertama kali datang ke kampung kita akan membentuk persepsi dan perasaan baharu.