DALAT: Kesulitan penduduk Kampung Sungai Kut Muara di sini, yang terpaksa menggunakan jalan raya rosak dan berlubang selama ini berakhir apabila jalan utama Dalat selesai diturap dan dibuka kepada orang ramai baru-baru ini.

Jalan berturap sejauh 1,150 meter menelan kos RM1.8 juta itu menghubungkan Kampung Sungai Kut Muara dengan jalan utama Dalat-Sungai Kut memudahkan pergerakan penduduk di kawasan sekitarnya.

Lebih menggembirakan, pembukaan laluan berturap itu dianggap sebagai hadiah istimewa untuk penduduk kampung sempena sambutan Hari Gawai Dayak dan bakal menyusul Hari Raya Aidilfitri.

Dengan siapnya jalan tersebut, penduduk berharap isu jalan sempit dengan penduduk gemar meletakkan kenderaan di bahu jalan dapat diselesaikan.

Kini, penduduk dapat meletakkan kereta masing-masing di halaman rumah sendiri dan tidak mengganggu pengguna di jalan.

Penduduk menghargai usaha gigih Menteri Kebajikan, Komuniti Kesejahteraan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Dalat, Datuk Hajah Fatimah Abdullah yang mendapatkan peruntukan bagi membina jalan raya tersebut.

Projek Jalan feeder, prasarana skala kecil itu dibina oleh Rejimen Angkatan Tentera Di Raja Malaysia (ATM) Bersenjata. Pihak ATM bekerjasama membina jalan tersebut bersama penduduk setempat, Unit Kerjasama Swasta (Ukas) dan Pemantauan Pelaksanaaan Projek Negeri (Simu) bermula Jun tahun lalu dan siap dalam tempoh setahun.