Pas: Menang PRU-14 dulu, baru fikir siapa jadi Perdana Menteri

KUALA LUMPUR:   Berbeza daripada Pakatan Harapan, Pas berkata parti itu bersama-sama dengan Gagasan Sejahtera akan menentang Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 sebelum memikirkan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri, kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

“Pas bersama-sama Gagasan Sejahtera akan lawan BN dahulu dalam PRU-14. Bilangan kerusi yang akan ditandingi sudah pasti lebih daripada separuh bilangan kerusi Parlimen bersama rakan di dalam Gagasan Sejahtera,” kata Idris sambil memberi analogi  sinis betapa perlunya mendapatkan ikan dahulu, baru kita fikir hendak masak apa.

“Kita tidak mahu, ikan tidak dapat lagi sudah bergaduh hendak masak apa,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kita tidak mahu sibuk hendak lantik siapa PM, ikan kembung sekilo RM16. Getah sekerap RM2.20 sekilo. Bawang putih sekilo RM18. Peniaga stesen minyak sudah pening kepala, minyak turun naik. Rakyat pula setiap minggu beratur isi minyak,” katanya.

“Tumbang BN dahulu. Cuma kena periksa, jentera pilihan raya macam mana. Ahli berapa orang. Cula sudah dibuat atau belum. Tidak cukup kerja pilihan raya hanya dengan membina persepsi yang tidak berasas,” ujarnya.

Kenyataan Idris itu adalah di sebalik keriuhan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) siapa yang paling sesuai jadi Perdana Menteri.

PPBM mahu pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala PKR bertegas mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya lagi, kalau setakat ada calon, jentera tidak ada, maka  hasrat berkenaan tidak lebih sebagai angan-angan sahajalah.

“Daftar pemilih macam mana? Tidak cukup setakat hero di FB dan media sosial,” katanya lagi

Menurut Idris, masih ramai pengundi yang berkiblat kepada televisyen, terutama saluran satu dan penduduk luar bandar.

“Apabila dapat BR1M seolah-olah seperti air mutlak, suci lagi menyucikan. Kemarahan kepada GST, 1MDB dan kenaikan  harga barang boleh disejukkan dengan BR1M.

“Ini yang kita perlu kekuatan jentera terutama untuk menarik pengundi Melayu. Kita tidak ada wang dan dedak untuk ditaburkan. Tetapi jika kita ada jentera, dengan izin Allah kita mampu menang,” tegasnya.

“Tun Dr Mahathir dan mereka yang sewaktu dengannya tentu tahu taktik ini sewaktu mereka berada di puncak kuasa. Itu dulu, sekarang sebagai pembangkang tentu berbeza, kerana ia perlu kepada komitmen dan iltizam yang tinggi. Dulu ada dedak, sekarang ada air liur sahaja. Sudah tentu budaya kerja berbeza,” katanya.

“Sekiranya jentera tidak ada, setakat hendak bersembang bolehlah, sebagai halwa telinga. InsyaAllah, inilah yang PAS tekankan setiap kali pilihan raya. Kebiasaan jentera Pas akan membantu rakan-rakan yang bekerjasama dengannya setiap kali pilihan raya untuk melawan BN,” katanya. – Sarawakvoice