Mahkamah Tinggi kembalikan status Adun Pujut

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini pagi ini  membuat keputusan untuk mengembalikan status  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP kawasan Pujut, Dr Ting Tiong Choon  sekali gus bermakna pilihan raya kecil yang dijadualkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 Julai tidak akan diteruskan.

Melalui catatan Facebooknya Setiausaha Agung DAP, Alan Ling yang diuar-uarkan bakal dinamakan sebagai calon pada 20 Jun  berkata, hakim memutuskan tindakan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 Mei lalu membatalkan kelayakan Dr Ting sebagai Adun Pujut adalah batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Douglas Christo Primus Sikayun berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar  dalam keputusan menyingkirkan Dr Ting adalah melampaui bidang kuasanya.

Dr Ting hilang kelayakan sebagai Adun Pujut selepas usul di sidang dewan negeri dibentangkan bagi melucut kelayakannya kerana dikatakan mendapatkan kewarganegaraan Australia pada 2012.

Usul berkenaan dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Anatarabangsa dan E-Perdagangan yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh.

Dr Ting 7 Jun lalu memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini bagi perisytiharan sebagai batal dan tidak sah.

Dr Ting menamakan Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sebagai defendan pertama, Wong Soon Koh sebagai defendan kedua, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Kerajaan Sarawak, dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan ketiga, keempat dan kelima.

Pada 12 Mei, usul Wong disokong 70 orang wakil rakyat Barisan Nasional, manakala 10 wakil rakyat pembangkang menentang.

Pendengaran permohonan Ting ditetapkan 10 Julai, jam 9 pagi.

Ting, diwakili pasukan lapan peguam diketuai peguam kanan Chong Siew Chiang memohon perisytiharan bahawa perlucutan kelayakannya sebagai Adun Pujut yang dipilih sewajarnya oleh defendan pertama, berikutan usul menteri yang dibawa oleh defendan kedua pada 12 Mei dan diluluskan oleh persidangan dewan negeri dan Speaker adalah batal dan tidak sah dan tiada membawa kesan kerana ia melanggar undang-undang.

Pengerusi DAP Sarawak DAP Chong Chieng Jen berkata ketika itu, satu perisytiharan bahawa prosiding dan keputusan dewan undangan negeri itu yang membawa kepada hilang kelayakan plaintif, tidak kebal dari semakan mahkamah.

Ujar Chieng Jen yang juga Adun Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, perlucutan kelayakan plaintif adalah bertentangan dengan peraturan keadilan asasi dan juga melanggar perlembagaan Negeri Sarawak, khususnya Artikel 17(1)(g) di dalamnya dan/atau Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan dan/atau Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan.

“Perlucutan kelayakan Dr Ting hanya boleh dibuat menerusi Petisyen Pilihan Raya dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang telah pun habis dirujuk sebelum keputusan dewan undangan negeri,” kata beliau.

Kini, timbul persoalan dalam kalangan pemerhati, adakah Wong mengambil tindakan tergesa-gesa, atau pihak pemimpin Barisan Nasional tidak mengkaji usul itu dengan teliti, terutama implikasi dari segi undang-undang dan perlembagaan atas kepercayaan bahawa keputusan dewan undangan negeri tidak boleh dibawa dan dipertikaikan oleh mahkamah.

Kejadian seumpama itu merupakan pertama kali pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. – Sarawakvoice