Dengan keputusan tidak memihak kepada Barisan Nasional  (BN) Sarawak apabila Mahkamah Tinggi pagi tadi mengembalikan status Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon,  beberapa persoalan mengenai kes itu kini mulai dibincangkan.

Pertama, adakah ia akan membuat rayuan kes itu di Mahkamah Rayuan atau tidak akan berbuat demikian?

Sebelum tindakan itu diambil, sudah pasti, ia perlu memikirkan banyak implikasi, terutamanya peluang untuk menang.

Isunya berkaitan dengan dwikerakyatan Dr Ting sehingga  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Datuk Seri Wong Soon Koh membawa usul ke DUN pada 12 Mei.

Malah, kesetiaan Adun Pujut berkenaan turut dibangkitkan ketika kes itu didengar di Mahkamah Tinggi.

Dr Ting pernah melahirkan keyakinannya bahawa proses kehakiman ialah jalan terbaik untuk mengelakkan pilihan raya kecil.

SPR telah menetapkan 20 Jun sebagai hari penamaan dan 4 Julai sebagai hari membuang undi.

Dengan keputusan oleh mahkamah itu, bermakna bahawa pilihan raya kecil  tidak akan berlaku.

Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai Adun dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak  pada 12 Mei lalu kerana mendapatkan kewarganegaraan Australia sebelum ini.

Dr Ting  dikatakan melanggar Artikel 17 (1) (G) Perlembagaan Sarawak.

Pasal 17 berbunyi “seseorang hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli dipilih bagi Dewan Undangan Negeri jika dia secara sukarela memperoleh kewarganegaraan, atau menjalankan hak kewarganegaraan di mana-mana negara di luar Persekutuan, atau membuat akuan setia kepada mana-mana negara di luar Persekutuan”.

Sebab lain yang diberikan ialah dia pernah mendaftarkan dirinya sebagai pengundi di Australia dan dua kali diisytiharkan muflis ketika tinggal di sana.

Wong ketika membentangkan usul berkenaan menggunakan beberapa Perintah Tetapi dewan undangan negeri serta Artikel 17 (1) (G) dan 19 Perlembagaan Sarawak.

Wong menyifatkan Dr Ting sebagai “orang yang tidak layak dan tidak boleh dipercayai untuk menjadi ahli dewan undangan negeri”

Tindakan DUN dan BN untuk melucutkan kelayakan Dr  Ting mencetuskan perdebatan hangat antara Pengerusi  DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang juga Adun Kota Sentosa, yang berhujah bahawa bukti Wong “tidak akan diterima di mahkamah” kerana ia hanyalah “cetakan dari Internet” dan bukanlah dokumen undang-undang yang sah dari Kerajaan Australia.

Persoalannya, apakah agenda Wong mengemukakan usul tersebut?

Adakah kerana tak puas dengan keputusan dalam pilihan raya kerana calon langsung UPP pimpinannya tewas? Atau tak puas dengan keputusan mahkamah sebelumnya?

Kata Chong lagi, kerana itu semua bukti hanya khabar angin dan pemalsuan untuk merosakkan reputasi Ting.

Beliau menyifatkan tindakan pelucutan itu sebagai “tindakan kekerasan” dilakukan BN yang memerintah.

Kes itu sebenarnya pernah dibawa ke mahkamah pada Disember tahun lepas.

Namun Dr Ting terselamat daripada cabaran yang dikemukan calon langsung dari UPP dan BN yang kalah, Datuk Hii King Chiong.

Beliau dalam samannya mahu  membatalkan keputusan kerusi dewan undangan negeri Pujut yang dimenangi dengan majoriti 1,759 dalam pilihan raya negeri Mei tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Ravinthran N Paramaguru menolak petisyen Hii kerana ia gagal menetapkan peruntukan undang-undang bagi membolehkan kes itu didengari.

Hii gagal meletakkan deposit RM10,000 dan tiga salinan petisyen dengan pendaftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepertimana diperlukan di bawah Peraturan 3 Peraturan Pilihan raya 1954.

Ketika BN menang usul itu di DUN tempoh hari dan timbul hasrat DAP untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah, Speaker Mohd Asfia Awang Nassar mengulas isu berkenaan.

Dengan memetik Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan  beliau menyatakan “kesahan seberang prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah”.

Justeru, Asfia berkata akan membuat permohonan menghalang sebarang writ daripada bekas Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Pujut itu yang mungkin difailkan di mahkamah.

Asfia berkata ketika itu, membaca Perkara 72 dan Perkara 19 Perlembagaan Sarawak bersama akan menjadikan ia “sangat jelas yang prosiding Dewan Undangan Negeri adalah dalam bidang kuasa eksklusifnya, menurut hak eksklusif dan bidangnya, bukan mahkamah yang menentukannya”.

Pasal 19 (1) Perlembagaan negeri itu berbunyi “jika ada persoalan sama ada speaker atau ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lagi layak dilantik.”

Tetapi, akhirnya, DAP berjaya membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Ketika itu Chong berkata, BN tidak boleh melucutkan kelayakan Dr Ting di mahkamah, maka  mereka  membawa kes ini ke dewan undangan negeri di mana mereka menggunakan kekerasan dan kuasa mereka untuk melucutkan kelayakannya.

Namun, BN juga gagal di dewan undangan negeri, dan pagi tadi mereka sekali lagi gagal di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi di Kuching pagi tadi  membuat keputusan untuk mengembalikan status  Dr Ting,  sekali gus bermakna pilihan raya kecil yang dijadualkkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 Julai tidak akan diteruskan.

Maksudnya, BN sudah tiga kali mereka gagal di tiga peringkat.

Adakah mereka bersedia untuk gagal bagi kali keempat, dengan membawa kes itu di mahkamah lebih tinggi.

Adakah ia akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan? – Sarawakvoice