Tiga pemain Kuching FA digantung tiga hingga enam bulan kerana bertindak ganas dalam Liga FAM

KUCHING: Tiga pemain Persatuan Bola Sepak Kuching (Kuching FA) digantung antara tiga hingga enam bulan perlawanan serta denda sebanyak RM5 ribu ke RM10 ribu seorang, kerana berkelakuan ganas ketika aksi Kuching FA dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC pada 20 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, dalam aksi Liga FAM 2017 itu, Mohammad Shafitri Salim didapati berkelakuan ganas, apabila dengan sengaja memijak pemain Hafizuddin Mohamad Said hingga menyebabkan kecederaan yang serius.

Shahfitri diarah menjalani penggantungan daripada bermain dalam perlawanan rasmi dan tidak rasmi selama enam bulan berkuat kuasa 15 Jun hingga 14 Disember 2017 selain denda sebanyak RM10 ribu.

Seorang lagi pemain, Remenor Pit pula didapati bersalah berkelakuan ganas dengan sengaja mencekik pemain lawan.

Sehubungan itu, dia telah dijatuhkan hukuman penggantungan selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Jun sehingga 14 September 2017 dan didenda sebanyak RM5 ribu.

Turut menerima hukuman yang sama, seorang lagi pemain Kuching FA, Rafiezan Razali yang didapati bersalah dengan sengaja menyiku pemain lawan.

Pengurus pasukan Kuching FA, Fazruddin Abdul Rahman ketika dihubungi sebentar tadi memberitahu, pihaknya akan bermesyuarat pada petang ini bagi merayu hukuman-hukuman tersebut diringankan, sambil merancang tindakan sepatutnya selepas ini.

Beliau tidak menafikan, kehilangan tiga tonggak ini akan menjejaskan persiapan bekas juara Liga Bola Sepak Rakyat edisi pertama itu. – Sarawakvoice