FGV perlu diterajui ahli korporat yang berintegriti tinggi, bersih

KUALA LUMPUR: Pas mencadangkan supaya Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dipimpin oleh ahli korporat yang bersih dan berintegriti tinggi.

Ketua Penerangan Pas Pusat  berkata, ini ialah jalan penyelesaian utama yang diperlukan ketika ini.

“Konflik dan kemelut yang berterusan tidak memberi keuntungan kepada sesiapa, malah kesan dan implikasinya menjejaskan kesejahteraan para peneroka Felda itu sendiri,” kata Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

Katanya, amat mustahak proses reformasi pengurusan Felda (FGV) dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab supaya FGV berperanan dalam sektor korporat dengan penuh integriti.

Nasrudin berkata,  kemelut dalaman yang melanda FGV ketika ini dilihat akan terus menjejaskan reputasinya.

“Banyak perkara yang masih belum dapat dirungkai dengan prestasi FGV masih di takuk yang membimbangkan,” katanya.

Menurut beliau, pengerusi FGV  Tan Sri Isa Samad dilihat masih berselindung di sebalik beberapa isu melibatkan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam FGV.

Ujarnya, dakwaan balas oleh Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad mengenai pelaburan jutaan ringgit yang “tidak masuk akal” juga perlu diberi perhatian serius.

“Pengaruh politik dilihat masih kuat berakar dalam pengurusan FGV, menjadikan langkah memacu kelestarian pembangunan dalam industri agro-bisnes FGV sering kali tergendala,” tambahnya.

Tegasnya, sejak Isa  mengambil alih FGV pada 2011, pelbagai konflik melanda FGV dan ia tidak pernah menunjukkan  tanda yang positif.

“FGV perlu dipimpin oleh mereka yang bebas daripada sentimen politik,” katanya lagi.

Pas, katanya,  bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tuanku Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak sepatutnya melantik ahli politik dalam mana-mana syarikat milik kerajaan (GLC) termasuklah FGV yang sudah sekian lama terpalit dengan pelbagai isu korupsi. – Sarawakvoice