Adam Yii taruhan BN di PRK Dun Pujut

KUCHING: Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang sudah hampir pasti dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya Kecil Dun Pujut pada 4 Julai depan.

Adam, 61 tahun, bukan nama baharu dalam politik kerana telah menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sejak tahun 1990.

Beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda SUPP Krokop pada tahun 1991 sebelum dilantik sebagai Naib Pengerusi SUPP, kemudian Pengerusi pada tahun 2006.

Datuk Bandar Miri Adam Yii

Adam juga berperanan sebagai Penolong Setiausaha Penganjur Pemuda SUPP Miri pada tahun 1991.

Berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya, Adam dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SUPP Pujut pada tahun 2007 sebelum dilantik sebagai Pengerusi pada tahun 2015.

Selain jawatan tetsebut, Adam turut diberi kepercayaan menjawat Setiausaha Publisiti dan Penerangan SUPP Negeri.

Lulusan Sarjana Muda dalam Geologi di Universiti Malaya, Adam yang juga anak
ketiga dalam keluarga enam adik-beradik merupakan seorang yang peramah dan senang bergaul.

Beliau mendaki puncak kerjaya dengan bertugas di sebuah syarikat multinasional dalam lapangan minyak Perancis, Geoservices pada tahun 1980 hingga 1986.

Adam kemudian meletak jawatan pada bulan November 1986 dan menyertai syarikat telaga minyak tempatan sehingga 1988.

Beliau kemudian menubuhkan sebuah syarikat perdagangan lapangan minyak sendiri, Awatra Sdn Bhd pada tahun 1988 dengan tiga rakan kongsi.

Menerusi syarikat ini, Adam memperoleh kontrak daripada Sarawak Shell Bhd, Esso Production Malaysia Inc., Petronas Carigali, Murphy Oil, Nippon Oil dan lain-lain sebelum bersara pada tahun 2012.

Adam dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Miri dari tahun 1997 sehingga 2003 sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar Bandar Raya Miri pada 29 Julai lalu.

Pengumuman calon BN akan dilakukan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi BN Sarawak, di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu pada jam 3 petang ini. – Sarawakvoice