Ego dan perwatakan punca isu Nazri vs Karim

Isu sebenar di sebalik kes Nazri Aziz vs Karim Rahman sebenarnya bukan sangat kerana Cukai Pelancongan 2017.

Tetapi lebih kepada perwatakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang dilihat terlalu biadap, angkuh dan berlagak.

Isu Cukai Pelancongan masih dapat diterima dan ditelan rakyat jika ia melalui proses penerangan yang sewajarnya.

Tetapi apabila Nazri bertindak kasar, malah melabel pula Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dengan kata-kata yang tidak sepatutnya, ia memberi kesan kepada seluruh rakyat Sarawak dan Sabah.

Nazri silap apabila memikirkan label “setahun jagung”, “samseng” dan dakwaan Abdul Karim “menghinanya” boleh menyebabkan Abdul Karim jadi lemah dan malu.

Tindakan Nazri sebenarnya menaikkan nama Abdul Karim di mata nasional. Kini seluruh rakyat Malaysia kenal siapa Abdul Karim dan di mata rakyat Sabah dan Sarawak, beliau dianggap “wira”. Beliau disokong oleh banyak pihak.

Puncanya, kerana beliau menyuara pandangan dan kegelisahan rakyat dan yang kedua, beliau menangani situasi ini dengan bijak, tanpa emosi.

Sebagai menteri, yang memiliki pengalaman panjang dalam politik karier sebagai menteri, kesombongan itulah yang perlu ditangani oleh Nazri. Kesombongan itulah yang membunuhnya, kerana ia membawa kepada ego dan akhir sekali kepada keceloparan.

Sekurang-kurangnya rakyat dua buah negeri melihat jelik kepadanya ketika ini termasuk Johor.

Hidup biarlah berbudi dan berbahasa, apatah lagi Nazri mengetuai kementerian yang seharusnya meletakkan ketinggian budaya di pundaknya. Mungkin beliau lupa akan kedudukannya itu?

Ironinya, Abdul Karim menangani isu ini dengan tenang, senyum dan cara Sarawak.

Tidak perlu emosi biar ditalu dengan serangan tidak berasas. Kerana itu seluruh rakyat Sarawak berada di belakangnya, termasuk semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, termasuk Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sendiri.

Sementara itu, atas prinsip profesionalisme, tidak pula Abdul Karim membabitkan ahli keluarganya.

Nazri bukan sahaja meminta PapaGomo berada di barisan hadapannya, bagi menjadi benteng dan pengalih tumpuan, malah turut membabitkan anak dan salah seorang isterinya untuk turut melontar komen. Perlukah? Mereka ini pula bukan membantu meredakan keadaan dan memberi penerangan, malah menegak benang yang basah sambil menyerang Abdul Karim, menteri dan ahli Parlimen serta rakyat Sarawak dengan isu yang tidak relevan.

Ketika ini, isu ini memfokus kepada keceloparan dan kebiadapan. Tetapi perhatikan juga komen dan sentimen lain yang dilaungkan, kerana yang disuarakan netizen adalah luahan hati rakyat.

Yang pasti, Sarawak berhak untuk menuntut haknya, terutama yang terhakis oleh permainan politik Pusat selama ini.

Sebelum ini, ramai yang tidak berani bersuara atas faktor menghormati pemimpin, tetapi era moden, era pasca Abdul Taib adalah berbeza. Aspirasi anak muda menyebabkan semakin ramai yang cerdik dan rakyat Sabah dan Sarawak semakin pintar menyerang balas.

Penyelesaian isu ini sebenarnya cukup mudah. Kedua-dua duduk semeja dan berbincang serta berunding secara matang. Tidak perlu melenting kerana dalam politik tidak ada istilah senior atau kanan dan junior “setahun jagung”. Anda hanya menjadi kanan kalau anda berada di kerusi Perdana Menteri atau timbalan atau sebagai Ketua Menteri.

Dan dalam konteks Malaysia hari ini, Perdana Menteri pun bukannnya terlalu kebal dan maksum hingga tidak boleh ditegur. Beradablah, kerana rakyat melihat anda di bawah. Dan sesekali ketika berada di atas, jelinglah ke bawah sana. – Sarawakvoice