BN Sarawak tergugat dalam PRU14 jika pertikaian Nazri-Karim tidak ditangani segera

KUCHING: Barisan Nasional (BN) di Sarawak kemungkinan menerima kesan langsung dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang susulan kontroversi yang tercetus daripada kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz terhadap menteri Sarawak berhubung dengan isu Cukai Pelancongan jika tidak ditangani dengan berkesan.

Penganalisis politik yang ditemui Sarawakvoice yang enggan disebut namanya berkata, isu ini tidak lagi membabitkan Nazri dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Hamzah semata-mata, tetapi telah menyentuh sentimen rakyat Sarawak pada keseluruhannya.

“Keadaan bertambah buruk kerana beberapa pihak lain cuba menyemarakkan api sentimen berkenaan dengan melemparkan pelbagai label negatif terhadap menteri dan rakyat Sarawak,” katanya sambil memetik peribahasa, ‘cubit paha kanan, paha kiri turut terasa.’

Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen dengan 25 kerusi dimenangi BN dalam pilihan raya umum 2013.

Dalam PRU lalu, BN menang 134 daripada 222 kerusi Parlimen.

Hanya kerusi Parlimen yang akan ditandingi di Sarawak dalam PRU-14, kerana negeri itu baru mengadakan pilihan raya negeri pada Mei tahun lalu.

BN, katanya, tidak ada ruang untuk kalah teruk di Sarawak, lebih-lebih lagi kini Umno khususnya berdepan masalah di Sabah dan di Semenanjung.

Di Sabah, tambah beliau, dengan sentimen masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang menentang Umno, dan pengaruh Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, terdapat jangkaan bahawa BN Sabah boleh hilang sehingga 10 kerusi Parlimen.

Terkini, katanya, Umno perlu menangani isu Felda Global Ventures Holdings (FGV), kerana Umno  tidak boleh tewas banyak kerusi di kawasan Felda.

“Terdapat 54 kerusi Parlimen di kawasan Felda, dan jika sentimen peneroka terbabit tidak ditangani segera berikutan isu FGV, Umno dijangka berdepan dengan risiko,” katanya lagi.

“BN Pusat dan pemimpin Umno di Semenanjung seperti Nazri tidak boleh terus-terusan menghiris perasaan pengundi Sarawak. Mereka perlu bijak menangani sebarang isu yang berbangkit, dan bukannya memberi pelbagai label yang disifatkan menghina dan memperlekeh pemimpin,” katanya mengulas kontroversi  berkenaan.

Ujarnya, berdasarkan sentimen dan komen di media sosial, jelas memihak kepada Abdul Karim dan rakyat Sarawak tidak senang hati dengan serangan balas yang dilakukan oleh Nazri.

“Justeru, amat penting isu berkenaan ditangani segera, dengan bijaksana dan bukannya terus disemarakkan, kerana ini akan memburukkan lagi keadaan. Semua pihak perlu berhujah secara rasional, bukannya emosi,” katanya, sambil menambah, tidak ada mana-mana pihak yang akan untung jika pertikaian itu berlarutan. – Sarawakvoice