Abang Jo jumpa PM petang tadi, calon Pujut diumum Jumaat ini

KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dijangka akan mengumumkan nama calon untuk Pilihan Raya Kecil Dun Pujut pada jam 3 petang, Jumaat ini.

Menurut sumber Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), satu mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) Sarawak akan diadakan sebelum itu bagi memperkenal calon yang terpilih.

Pada jam 1 petang tadi, Pengerusi BN Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Mohd Najib Razak di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya bagi memuktamadkan nama calon yang dipilih.

Sebelum ini kedua-dua parti dominasi Cina; Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) telah menghantar senarai nama calon berpotensi masing-masing untuk pilihan raya kecil tersebut.

Ketika ini, nama yang disebut-sebut sebagai calon BN ialah Datuk Bandar Miri yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pujut, Adam Yii Siew Sang.

Parti Rakyat Bersatu (UPP) pula telah mengemukakan nama Ketua Cawangan Pujut, Bruce Chai selain tiga nama jawatankuasa Cawangan Senadin; Keith Chan, Lawrence Kong, dan Suzanne Lee.

Sementara itu, Parti Tindakan Demokratik (DAP) juga dijangka mengumumkan calonnya pada Jumaat ini.

Difahamkan, calon berpotensinya ialah Setiausaha Negerinya, Alan Ling Sie Kiong, yang sebelum ini merupakan bekas Adun Piasau, sebelum kalah kepada Datuk Sebastian Ting.

Abang Johari sebelum ini dipetik berkata, beliau yakin BN boleh merampas kerusi tersebut tetapi perlu bekerja lebih kuat.

Kerusi Dun Pujut kosong setelah penyandangnya, Dr Ting Tiong Choon daripada DAP hilang kelayakan sebagai anggota dewan setelah disingkir menerusi usul oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Wong Soon Koh berikutan isu dwikerakyatan.

Keputusan ini mengurangkan kekuatan pembangkang kepada sembilan kerusi, selepas memenangi kerusi tersebut pada Mei tahun lalu.

Sebanyak 70 undi menyokong usul tersebut, manakala 10 undi menentang. Kesemua undi menentang adalah daripada pembangkang.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei tahun lalu, Tiong Choon menang kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 undi.

Tiong Choon memperoleh 8,899 undi menumpaskan calon BN, Hii Kong Chiong (7,140 undi), Jofri Jaraiee (Pas – 513 undi) dan penyandang, Fong Pau Teck (Bebas – 375 undi)

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 4 Julai depan sebagai Hari Pembuangan Undi PRK Pujut manakala Hari Penamaan Calon pada 20 Jun depan. – Sarawakvoice