12 laporan polis terhadap PapaGomo, digasak netizen hingga tutup akaun Facebook

KUCHING: Sehingga jam 4 petang tadi, Polis Diraja Malaysia telah menerima 12 laporan berkaitan muat naik status facebook berkaitan PapaGomo, yang dikatakan mengandungi unsur hasutan di seluruh negeri Sarawak.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya menerima tiga laporan di Bintulu, dua laporan di Kota Samarahan, dua laporan di Santubong dan masing-masing satu laporan di Lundu, Sibu, Batu Kawa, Belaga dan Bintangor.

Laporan dibuat setelah blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Derus menerusi akaun facebook dengan nama Sir Azri membuat kenyataan berbaur hasutan, rentetan pertikaian pendapat di antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam kenyataan tersebut, dikatakan telah menulis ayat berikut: “Jangan nak sombong sangat. Melayu-Melanau Sarawak cuma ada 28 peratus. Dayak dan Cina 72 peratus tetapi Melayu Melanau memerintah kerana kekuatan Melayu di Semenanjung.”

“Kalau tak faham bahasa juga, tak tahulah. Pemimpin Sarawak ni jangan nak tunjuk samseng sangat.”

Akibat kenyataan tersebut, ramai pengguna media sosial terutama dari Sarawak, malah dari Semenanjung dan Sabah telah mengkritik PapaGomo, termasuk menghinanya dengan kata-kata kesat.

Menjelang tengah hari tadi, Azri telah menutup akaun tersebut, dan cubaan untuk mendapatkannya gagal.

Azri sebelum ini pernah disaman lebih RM800 ribu kerana memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain dihalang memasuki Sarawak pada April tahun lalu. – Sarawakvoice