Pusat belanja RM4 bilion bina jambatan di S’wak, mohon RM5 bilion lagi bina 19 jambatan

SARIKEI: Kerajaan Pusat sudah membelanjakan RM4 bilion bagi membina jambatan menghubungkan jalan raya di pesisir Sarawak dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).
Kini, Sarawak memohon sekitar RM5 bilion lagi bagi meningkatkan mutu prasarana perhubungan darat di negeri ini untuk membina 19 lagi jambatan baharu.
Antara jambatan yang dibina bagi tempoh RMK11 ialah Jambatan Batang Sadong (siap), Jambatan Batang Samarahan (hampir siap), Jambatan Rambongan (akan diluluskan), Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Igan (dalam proses reka bentuk).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf sebagaimana dilaporkan Bernama berkata, terdapat enam hingga tujuh lagi jambatan kritikal menghubungkan semua jalan pesisir di Sarawak perlu disiapkan pada masa akan datang mengikut keutamaan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Menurut Fadillah semasa berucap pada majlis penyerahan tapak projek naik taraf Jalan Kampung Seberang, Sarikei, di samping membina Lebuh Raya Pan Borneo, Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Negeri membangunkan kawasan pesisir dengan rangkaian jalan raya demi meningkatkan sosioekonomi rakyat. – Sarawakvoice