Pemuda Keadilan sifatkan Karim Hamzah berani, utamakan kepentingan rakyat Sarawak

KUCHING:  Angkatan Muda Keadilan (AMK) memuji kenyataan seorang menteri Sarawak yang disifatkan sebagai berani dan mementingkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak secara keseluruhan di sebalik tempelakan seorang menteri persekutuan terhadap beliau mengenai isu cukai pelancongan.

Malah, AMK dalam satu kenyataan hari ini juga memuji tindakan tegas Pejabat Ketua Menteri Sarawak  memutuskan penglibatan dalam Lembaga Pelancongan Malaysia.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak berkata tindakan itu diambil kerana peranan wakilnya  tidak perlu dalam Lembaga Pelancongan Malaysia kerana ia bertindih dengan  peranan Lembaga Pelancongan Sarawak.

Abdul Raafidin Majidi mengulas mengenai kenyataan biadab yang dilemparkan oleh Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang melabelkan  Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Hamzah sebagai menteri setahun jagung dan “samseng”.

Karim kelmarin mencadangkan agar cukai pelancongan yang sepatutnya dikuatkuasakan 1 Julai ini ditangguhkan.

Namun, reaksi Karim itu mendapat reaksi mengejutkan daripada Nazri yang disifatkan rakyat Sarawak sebagai angkuh dan tidak profesional.

AMK, ujar Abdul Raafidin, amat kesal dengan kenyataan sedemikian, lebih-lebih ketika umat Islam berada  pada bulan Ramadan yang mulia.

“Kenyataan daripada Dato Nazri Aziz menunjukkan ketidakmatangan dan seharusnya tidak keluar dari mulut seorang Menteri Kanan Persekutuan terhadap rakan kongsi Barisan Nasional,” katanya.

Sudah diketahui umum, katanya, Negeri Sarawak merupakan penyumbang utama kepada kemenangan Barisan Nasional setiap kali pilihan raya umum.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional mendengar dan meneliti terlebih dahulu setiap tindakan yang melibatkan rakyat Sarawak,” tambahnya.

Ujarnya, pada masa yang sama  AMK Sarawak juga ingin mempersoalkan di manakah suara Ahli Parlimen  BN Sarawak ketika rang undang-undang itu dibentang dan dibahaskan.

“…  di manakah kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional Sarawak ketika usul ini dibentangkan untuk kelulusan di Parlimen?,” tanya beliau. – Sarawakvoice