Pas Sarawak sokong Abang Johari tubuh syarikat minyak dan gas

KUCHING: Pas Sarawak menyokong usaha kerajaan negeri dalam menubuhkan syarikat operasi minyak dan gas yang akan memberi tumpuan dalam usaha eksplorasi dan pembangunan lapangan minyak dan gas di Sarawak.

Pas Sarawak, kata Ketua Penerangannya melihat usaha itu akan memberi peluang kepada pembangunan kemahiran anak Sarawak melalui perkongsian kerjasama dengan Petronas.

“Usaha ini juga akan membuka lebih peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak,” kata Muhammad Afiq mhd Khazar dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, ujarnya, Pas Sarawak melihat, penyertaan syarikat ini dalam bidang explorasi dan pembangunan lapangan minyak akan melibatkan risiko yang tinggi dari aspek pelaburan dan ekonomi.

“Kos kasar eksplorasi dan pembangunan satu telaga minyak sahaja bakal menelan belanja sehingga USD10 juta (RM42.65Juta),”’ ujarnya.

Namun, Parti Islam itu mengingatkan agar kerajaan negeri meneliti dari segala aspek pengurusan risiko ini sebelum membuat keputusan juga dalam keadaan harga minyak dunia yang pada paras rendah ketika ini – USD48.40.

Ketua Menteri mengumumkan cadangan penubuhan syarikat berkenaan kepada anak Sarawak pada majlis Iftar di PWTC, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

“Pas Sarawak melihat akan keperluan asas infrastruktur awam di Sarawak seperti jaringan jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih adalah seharusnya menjadi fokus keutamaan dalam perbelanjaan kerajaan negeri,” kata  Muhammad Afiq lagi.

Sebagai contoh, katanya, , wang yang bakal dibelanjakan bagi satu telaga minyak dapat menampung projek jalan raya sejauh lebih 20 km atau bekalan elektrik dan air kepada lebih 100 buah kampung  atau rumah panjang. – Sarawakvoice