Nazri Aziz: Pemimpin Umno yang jantan berlidah tajam

Apa yang menyebabkan isu cukai pelancongan yang dibawa oleh menteri terbabit heboh dan kontroversi?

Isu ini telah menjebakkan dua orang menteri – seorang menteri persekutuan dan seorang menteri negeri  — dalam satu kontroversi yang cukup hangat.

Semuanya gara-gara mulut celopar dan tidak profesional dalam memberi jawapan.

Nazri, pemimpin Umno yang jantan itu memang terkenal dengan lidah tajam.

Nazri semalam menyelar menteri Sarawak, Datuk Abdul Karim Hamzah kerana mencadangkan Putrajaya menangguhkan pelaksanaan cukai berkenaan.

Nazri dilihat tidak berhemah, kasar dan tidak sepatutnya menggunakan kata keras ketika menteri Sarawak itu hanya mengemukakan cadangan.

Adakah itu standard dan cara baharu seorang menteri perlu menjawab dan menangkis hujah?

Nazri  mendakwa Karim tidak faham teras penting perkara itu ketika mengatakan cukai seperti itu sepatutnya hal negeri.

“Karim hanya menteri baharu, dia tak sepatutnya berlagak. Jika dia tidak faham apa-apa dia patut jumpa saya. Saya juga menteri Barisan Nasional,” katanya.

“Kebanyakan hotel lima bintang ada di Semenanjung, dan 75% hotel berbeza taraf berada di sana. Hanya 25% ada di Malaysia Timur.

Malaysia akan mengenakan cukai pelancongan sebanyak RM2.50 hingga RM20 bagi setiap bilik, setiap hari untuk penginapan hotel, bermula 1 Julai.

Bagi sesetengah negara, bukan setiap bilik, tetapi setiap penghuni yang menginap di hotel dikenakan cukai.

Maksudnya, ikut kepala.

Cukai baharu itu akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam.

Buruk sangatkah kesan cukai berkenaan?

Bagi rakyat, mereka sudah bayar cukai perkhidmaatan dan GST.

Sekarang, mereka kena bayar satu lagi cukai kalau tinggal di hotel.

Ini tentu membebankan dan menyebabkan kocek rakyat yang sudah nipis semakin nipis dan berlubang besar.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz, cukai ini dijangka menambah ratusan juta dolar ke dalam kantung kerajaan, berkuat kuasa pada 1 Julai.

Nazri berkata, hasil cukai itu akan digunakan untuk mempromosi aktiviti pelancongan di luar negara.

Juga menambah baik kemudahan dan prasarana pelancongan.

Cukai itu akan dikenakan terhadap tetamu di hotel dan penginapan lain yang direkodkan dalam pangkalan data kementerian itu.

Cukai pelancongan adalah berdasarkan penarafan premis penginapan.

Hotel lima bintang akan dikenakan RM20 bagi setiap malam; empat bintang (RM10); tiga hingga empat bintang (RM5); dan premis penginapan tiada penarafan (RM2.50).

Nazri berkata kerajaan bakal mengumpul RM654.62 juta daripada cukai.

Banyak pihak menentang cukai ini, termasuk menteri terbabit di Sabah dan Sarawak.

Tiga persatuan hotel utama – Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel (MAHO) dan Pertubuhan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA)  turut menentang cukai baru ini.

Presiden MAH Cheah Swee Hee dipetik media sebagai berkata, cukai baru “memudaratkan” industri perhotelan dan pelancongan.

Lagipun, katanya,  pemilik hotel tidak sewajarnya memungut cukai bagi pihak kerajaan.

Banyak negara Eropah mengenakan cukai itu terhadap pelancong. Kota Paris, Berlin, Rome, Amsterdam and Barcelona, Dubai dan Amerika mengenakan cukai berkenaan.

Juga Thailand, Singapura, dan Indonesia.

Di Eropah kadarnya pelbagai, sehingga mencecah sekitar RM30 semalam bagi seorang. Bayangkan!

TravelSupermarket.com berkata, jika anda mengunjungi kota terbabit, bersedialah untuk membayar cukai berkenaan.

Anda boleh menjangka kadar dan struktur yang berbeza. Sesetengah kota mengenakan kadar per kepala, per malam, sementara kota seperti Berlin, Amsterdam dan Cologne, cukai kota dikenakan pada kadar sama sebanyak 5 peratus daripada bil hotel.

Di Paris anda dikenakan €1.50 (£1.30) per kepala per malam, tertakluk kepada lokasi dan penarafan hotel. Di Rome anda perlu membayar  €7 seorang per malam.

Persoalannya, sudah bersediakah kita mengenakan cukai itu? Yang lebih penting, adakah  pihak hotel, pemain industri pelancongan dan rakyat bersetuju? – Sarawakvoice