Suntong tutok Sarawak yang enak ditempah hingga ke Australia

Di Sarawak, Ramadan sangat sinonim dikaitkan dengan hidangan sotong bakar atau dikenali sebagai “suntong tutok” atau “suntung tukuk” dalam bahasa Sarawak.

Pecah dan merecik air liur kalau mengingatkan keistimewaan makan suntong tutok sebagai kudapan di Kuching.

Di kampung-kampung atau jalan raya penempatan pinggir bandar raya Kuching atau Petra Jaya berderet atau sekurang-kurangnya terdapat satu atau dua gerai suntung tutok di pinggir jalan raya penempatan Melayu menjual juadah sedap ini.

Peliknya, boleh dimakan bila-bila masa pada bulan lain, akan tetapi ia tetap diminati untuk dikunyah pada malam-malam Ramadan.

Ingat suntung tutok, teringat kenangan bulan-bulan Ramadan yang dahulu.

Permintaan tinggi pada Ramadan, akibatnya, harga pasaran sotong kering ini melonjak tinggi pada bulan puasa berbanding bulan lain, mencecah sehingga RM100 sekilogram, bagi gred bermutu.

Menurut Salim N, 58, dari Bintawa, Petra Jaya pemilik produk Sotong Salim, setiap tahun harga pasaran sotong naik dan tidak mustahil menurutnya harga sotong akan naik sehingga RM200 sekilogram, 10 tahun akan datang.

Ini turut menaikkan harga jualan seekor sotong di gerai.

Pengalaman jual sotong 24 tahun

Menurut Salim yang sudah berniaga suntung tutok 24 tahun, pada 1990 harga sotong yang bagus, baru di sekitar RM20 sekilogram.

Salim mengaku sangat cerewet memilih sotong berkualiti dari Tanjung Manis dan Thailand demi kepuasan selera pelanggan.

Lain dahulu, lain sekarang, namun teknologi membakar dan menghasilkan suntung tutok tetap sama, sama ada menggunakan mesin pusing tangan atau penggelek atau menutuk atau memukul sotong menggunakan tukul besi beralaskan kayu belian.

Malam-malam bulan puasa sangat nostalgia. Biasanya selepas tarawih atau tadarus al-Quran, budak-budak atau dewasa membeli suntung tutok.

Api membakar arang dihidupkan, dan bara merahnya diperlukan untuk membakar sotong kering pelbagai saiz yang sudah dipilih oleh pembeli.

Digantung berderet bertingkat panjang, pelbagai saiz.

Dibakar arang merah menyala, “ditutok” manual

Bagi Salim, beliau membakar sotong menggunakan arang kayu dari bakau yang dianggapnya lebih asli, wangi dan selamat berbanding menggunakan arang kiub.

Di gerai Salim, suntong tutok dijual mengikut saiz RM10 seekor, ada RM12, RM15 dan RM20 seekor.

Sotong yang dipilih dibakar. Salaian sotong membangkitkan aroma wangi menyelerakan.

Pecah air liur!

Sotong panas digulung, digosok-gosok kemudian dipukul dengan teknik tersendiri menggunakan tukul atau “ditutok”.

Salim mengaku, tidak menggunakan mesin kerana peminat Sotong Salim lebih menyukai teknik “tutok”nya.

Dari aksi inilah sotong tutok mendapat nama.

Bagi yang pakar, memukul sotong dengan tukul besi di atas kayu keras seperti kayu belian boleh menghasilkan sotong yang panjang, halus teksturnya, mudah dikunyah dan sedap ditelan.

Bagi belia dan remaja yang bergigi sempurna mengunyah bahagaian kepala atau janggut sotong lebih enak dan disukai.

Pada Ramadan Sotong Salim boleh dibeli di petak nombor 19 Bazar Ramadan Satok pada 2-7 petang.

Sotong Salim turut dijual di Gerai Kampung Pulo, Petra Jaya pada malam sepanjang Ramadan.

Terdapat juga peminat tegar Sotong Salim menelefon pada sebelah malam Ramadan menempah kudapan lazat itu.

Pada Ramadan, jualan meningkat sekitar RM500 sehari.

Pusat Penjaja Gerai Aneka Rasa, Jambatan Gantung, Satok

Secara komersial, Sotong Salim beroperasi setiap hari dan bukan hanya pada Ramadan, di gerai nombor 6, Pusat Penjaja Gerai Aneka Rasa, Jambatan Gantung, Satok bermula 6 petang hingga 11 malam.

Turut dijual di gerai Jambatan Gantung ialah rojak buah berharga RM5 dan RM10, serta rojak sotong kangkong RM7 dan RM10, mengikut saiz.

Istimewanya sotong kembang ini dibuat sendiri oleh keluarga Salim dengan sotongnya ditempah khas dari Korea.

Manakala, sambal petisnya disesuaikan daripada kuah sambal sotong bakar yang sedia dijualnya.

Di gerai tersebut selain warga setempat, ia turut menarik tumpuan pengunjung dari sejauh Miri, Lawas, Kapit serta tempat lain di Sarawak.

Tunggu dulu, sesungguhnya suntong tutok ini lebih sedap dan enak dimakan dengan pencicah sambal khas yang dibuat oleh si penjual.

Kebanyakan sotong yang berkualiti rasanya hampir sama, namun yang membezakannya semasa dicicip di dalam mulut ialah kesedapan pada kuah pencicahnya yang manis-sedikit masam-pedas.

Rahsia sambal pencicah

Walaupun sambal pencicah kebanyakannya berasaskan bahan seperti cili, gula, bawang, kicap, cuka, bijan ditabur kisaran kacang dan ada yang menggunakan gula apong dan sebagainya, namun resipi “signature” tersendiri membuatnya tetap menjadi rahsia masing-masing penjual.

Sambal Sotong Salim berada pada kelasnya yang tersendiri.

Bahkan, keenakan sambalnya membuat ramai pembeli memesan sambal sotong yang dijual RM11 sebotol 500ml.

Sambal ini turut sedap menjadi pencicah ikan panggang, ikan goreng, telur padi, tahu sumbat dan sebagainya.

Selain dibeli peminat menggunakan penghantaran pos laju di seluruh Sarawak termasuk Kuala Lumpur, Sotong Salim turut ditempah peminat Brunei Darusalam, sejauh Singapura dan Australia.

Menurut Salim, anaknya Mohd Faizul pada Ramadan sibuk mengepos bungkusan tempahan sotong tyang turut menggunakan khidmat penghantaran melalui bas.

Pembeli membuat bayaran secara online, kemudian sotong dikirim menggunakan kurier atau bas kepada pembeli di pasaran Sarawak.

Sotong Salim dan Sambal Sotong Salim boleh ditempah di talian 013 800 4533 atau 010 835 0545.

Layari Facebook: Sotong Salim bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk. – Sarawakvoice