Mawan sampaikan air mineral, geran kerajaan RM100,000

KABONG: Tan Sri William Mawan Ikom menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa Lembaga Kebajikan Islam Gerigat (LKIG) petang semalam.

Majlis berlangsung di pekarangan masjid kampung tersebut yang dimulakan dengan sesi penyampaian geran kerajaan kepada lebih sepuluh kampung dan pertubuhan di sekitar Dareah Kabong.

Mawan turut menyumbangkan air minuman botol (air mineral) kepada penduduk kampung itu yang kini turut berdepan masalah tekanan air paip yang rendah dan pada waktu tertentu bekalan air tidak sampai ke rumah penduduk.

Mawan pada majlis tersebut turut mengumumkan sumbangan geran kerajaan kepada Jawatankuasa LKIG berjumlah RM100,000 bagi tujuan menaik taraf masjid kampung itu.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Jawatankuasa LKIG, Mohamad Bohari menyatakan kesukaran yang dihadapi penduduk Gerigat ketika sambutan Hari Raya apabila masjid berkenaan tidak lagi dapat menampung jumlah jemaah yang hadir untuk menunaikan solat sunat Hari Raya.

Keadaan itu menurut Mohamad telah dialami beberapa tahun lalu dengan penduduk terpaksa bersembahyang di sekitar luar masjid. Oleh yang demikian, proses menaik taraf dan memperbesar masjid berkenaan wajar dilaksana dalam masa terdekat. Bagaimanapun LKIG tidak mempunyai sumber kewangan untuk tujuan itu.

Mawan turut mengumumkan bantuan untuk membina dewan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat berjumlah RM250,000.

Hadir sama Pegawai Daerah Kabong, Kamaludin Haji Alkap, ketua-ketua masyarakat, ketua jabatan serta penduduk setempat. – Sarawakvoice