Kerbau Sarawak diancam kepupusan — Abang Johari

LIMBANG: Hanya sekitar 5,500 ekor kerbau yang berbaki di negeri Sarawak — pupus lebih separuh berbanding 11,000 ekor pada tahun 2000.

Situasi ini begitu membimbangkan, dan sewajarnya tindakan pantas perlu diambil.

Kerana jika tidak, Sarawak akan mengalami kepupusan terus menjelang 10 tahun akan datang.

Bimbang akan situasi ini, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sewaktu merasmikan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2017 di sini malam tadi, memberitahu Kerajaan Negeri memandang serius akan ancaman kepupusan ini.

Ketika ini populasi penternakan spesies saintifik Bubalus Bubalis Carabanesis ini hanya tertumpu di utara Sarawak, iaitu Limbang dan Lawas.

“Justeru itu Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak telah diminta untuk menangani isu ini.

“Kerajaan telah menyuntik dana sebanyak RM17.7 juta untuk menggerakkan pelbagai inisiatif dan program, bagi memastikan bilangan kerbau ini akan bertambah.

“Sekali gus ia akan dapat memenuhi keperluan domestik selain untuk tujuan eksport ke negara jiran, Brunei Darussalam,” katanya lagi.

Antara punca ancaman kepupusan ini ialah aktiviti penyembelihan dan aktiviti perdagangan kerbau.

Kerbau sebenarnya amat sinonim dengan etnik-etnik tempatan di Limbang dan Lawas kerana ia digunakan untuk membajak sawah dan mengangkut barang keperluan.

Dalam masyarakat Bisaya misalnya, setiap keluarga akan memiliki sekurang-kurangnya seekor kerbau.

Ketika ini nilai pasaran seekor kerbau adalah sekitar RM5,500 seekor bergantung kepada saiz.

Ia lazimnya ia dikorbankan untuk dijadikan hidangan kenduri, menjadi faktor utama akan ancaman kepupusannya.

Sehubungan itu, Abang Johari meminta semua pihak bekerjasama menangani isu kepupusan ini dengan segera agar habitatnya kembali kepada jumlah yang asal.

“Kita tidak mahu generasi masa depan terpaksa berkunjung ke zoo jika ingin melihat fizikal kerbau,” jelasnya lagi. – Sarawakvoice