Seluruh dunia Arab perlu kembali semula kepada Islam

KUALA LUMPUR: Presiden Pas  menyarankan seluruh dunia Arab perlu kembali semula kepada Islam susulan perkembangan terbaharu membabitkan pemulauan negara Qatar.

“Selepas saya meneliti dan menyokong keterangan yang dibuat oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia, kami dapati bahawa seluruh dunia Arab perlu kembali semula kepada Islam,” kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Arab Saudi, Mesir, Bahrain, Yaman, Libya, Maldives dan beberapa negara Arab lain memutuskan hubungan darat, laut dan udara dengan Qatar baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan dengan negara yang bersahabat dengan negara terbabit.

Ujarnya, seluruh dunia Islam perlu mengambil pengajaran daripada kesan buruk Perjanjian Sykes-Picot dan perpecahan antara dunia Islam Arab.

Menurut Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, sekalipun penjajah telah keluar, kesannya masih dirasai dengan meninggalkan pengikut-pengikut mereka yang mempunyai warna kulit dan lidah yang sama dengan kita.

“Yang paling bahaya adalah kesan sekular yang menjauhkan Islam daripada hal ehwal kehidupan serta memisahkan negara dengan agama,” tambahnya.

Oleh itu, tambahnya,  berlaku pemisahan antara kiblat untuk solat dengan kiblat politik.

“Maka kiblat untuk solat adalah mengadap ke Baitullah di Makkah dan kita menjaga dan membangunkannya sebagai kiblat kita. Adapun kiblat politik, ekonomi, kebudayaan dan lain-lainnya, maka kiblatnya pula ialah Rumah Putih di Washington atau Rumah Merah di Moscow,” katanya lagi.

Katanya, maslahah dunia adalah lebih diutamakan berbanding maslahah agama bagi menjaga maslahah Zionis, sekali gus mengesampingkan isu Al-Aqsa dan Palestin.

“Kenapa mereka lebih dilihat menentang gerakan Islam sederhana dan gerakan kemerdekaan sebenar di Palestin dan sekaligus mereka dilihat seolah-olah mengiktiraf kedaulatan Israel?,” tanya beliau. – Sarawakvoice